Selasa, 24 Disember 2019

Kena tahan tiga jam selepas larikan motosikal

SUSPEK yang cuba membawa motosikal curi dari Labuan ke Menumbok ditahan polis di Terminal Feri Labuan di Labuan. NSTP/Ihsan POLIS
LABUAN: Cubaan seorang lelaki membawa sebuah motosikal curi dari Labuan ke Menumbok menggunakan feri gagal selepas ditahan di Terminal Feri Kenderaan Labuan, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, suspek berusia 50-an ditahan selepas kira-kira tiga jam melarikan motosikal berkenaan jenis Yamaha 135LC.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata penahanan itu susulan maklumat diterima pihaknya berhubung kehilangan motosikal berkenaan di perkarangan sebuah masjid di Kampung Bukit Kalam.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 pagi selepas seorang lelaki berusia 20-an mendapati motosikal miliknya yang diletakkan di perkarangan masjid didapati hilang dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bertindak membuat pemeriksaan di Terminal Feri Kenderaan dan berjaya menemui sebuah motosikal milik mangsa berdasarkan pengecaman keadaan fizikal dan nombor pendaftaran asal yang belum diubah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut membawa penemuan sebuah beg galas mengandungi beberapa dokumen, termasuk salinan tiket motosikal bagi laluan Labuan - Menumbok bersama butiran nama serta kad pengenalan suspek.

“Turut ditemui dompet mengandungi kad pengenalan suspek dan peralatan pemutar skru disyaki digunakan untuk membuka kunci motosikal terbabit.

“Hasil maklumat daripada pekerja feri berkenaan, suspek berjaya dikesan di kawasan bangunan kaunter tiket feri dan ketika tangkapan dibuat, suspek menyedari kehadiran polis dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya.

Muhamad Farid, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati suspek positif dadah. Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This