Jumaat, 27 Disember 2019

Kanak-kanak derita akibat benjolan

MOHD Hafid Ismail (kiri) menunjukkan benjolan di bawah ketiak anaknya, Muhammad Amar Farish Mohd Hafid yang membengkak akibat ketumbuhan kelenjar yang dialaminya sejak November lepas ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pida 4, Kodiang. - Foto Zuliaty Zulkiffli
JITRA: “Ketika berusia enam bulan, benjolan di bawah ketiak anak saya, Muhammad Amar Farish Mohd Hafid, 6, hanya sebesar bola ping pong, namun ia terus membesar ketika ini.”

Demikian luahan bapa kanak-kanak itu, Mohd Hafid Ismail, 32, yang mengakui keadaan itu menyebabkan setiap kali Muhammad Amar mahu mengangkat tangan kiri, dia akan menangis kesakitan sehingga menyukarkannya memakai baju akibat ketumbuhan seberat kira-kira tiga kilogram (kg).

Mohd Hafid berkata, anak sulung dari dua beradik itu akan memasuki Tahun Satu minggu hadapan, namun disebabkan ketumbuhan kelenjar yang dialaminya, dia mungkin tidak dapat berbuat demikian.

Katanya, sebelum ini Muhammad Amar sangat aktif, namun akibat benjolan yang semakin membesar, anaknya itu terpaksa duduk di rumah dan berbaring saja ketika ini.

“Setiap bulan kami membawanya menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, doktor hanya dapat memberi ubat tahan sakit.

“Namun apabila berada di rumah, dia kerap menangis kesakitan hinggakan isteri, Nur Shuhaida Musa, 31, tidak tahu berbuat apa-apa melainkan memujuk Muhammad Amar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pida 4, Kodiang.

Mohd Hafid yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menjelaskan, doktor memaklumkan benjolan itu adalah lendir yang mungkin bercampur darah dan nanah.

“Lebih membimbangkan apabila terdapat pula benjolan kecil dikesan pada lengan kiri dan ketiak kanan Muhammad Amar yang kelihatan sama seperti benjolan besar di bawah ketiak kirinya.

“Dia juga tidak berselera makan menyebabkan berat badannya dari 26 kg kini cuma tinggal 21 kg,” katanya.

Mohd Hafid berkata, pendapatannya sebanyak RM1,700 sebulan tidak mampu membeli susu formula khas, menyebabkan Muhammad Amar terpaksa minum susu tepung biasa.

“Benjolan itu semakin membesar sejak November lalu, dan kami hanya mampu berserah kepada Allah kerana setakat ini doktor tidak memaklumkan sama ada akan melakukan pembedahan atau tidak.

“Saya berharap benjolan itu dapat dibuang segera supaya anak dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan bersekolah seperti rakannya yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 017-5450662. - Berita Harian

Loading...
Share This