Sabtu, 28 Disember 2019

Jawi harus jadi subjek berasingan dan tidak wajib, kata menteri Sabah

Ewon Benedick, yang bercakap kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Krismas di Kota Kinabalu hari ini berkata, Kementerian Pendidikan harus melibatkan ibu bapa bagi mengatasi kebimbangan mereka terhadap Islamisasi.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sabah Ewon Benedick berkata, beliau lebih suka Jawi dijadikan satu subjek pilihan di sekolah.

Katanya, ia juga tidak harus dijadikan sebahagian daripada silibus subjek Bahasa Melayu.

“Kabinet negeri dalam satu mesyuarat baru-baru ini, memutuskan Jawi patut dijadikan subjek pilihan dan tidak termasuk dalam silibus subjek Bahasa Melayu.

“Pengajarannya hanya disediakan hanya jika pelajar mahu mempelajarinya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Krismas di sini, hari ini.

Benedick berkata, beliau sedar tentang perubahan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan berhubung pengajaran tulisan Jawi dan tiada masalah menjadikannya satu subjek pilihan.

Ketika ditanya sama ada wujud kebimbangan terhadap Islamisasi dalam kalangan ibu bapa sekiranya anak mereka belajar tulisan Jawi, beliau berkata, Kementerian Pendidikan harus peka kepada pandangan semua pemegang taruh bagi membolehkannya mencapai penyelesaian menang-menang untuk semua pihak.

Pada Ogos, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, tulisan Jawi akan diperkenalkan sebagai pengajian pilihan dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 tahun depan berikutan bantahan terhadap rancangan awal menjadikannya bahagian wajib daripada silibus tersebut.

Tulisan Jawi diperkenalkan dalam 3 halaman buku teks Bahasa Melayu, berbanding 6 halaman seperti diumumkan sebelum itu.

Maszlee berkata, ia bertujuan memperkenalkan warisan Bahasa Melayu kepada pelajar. - Free Malaysia Today

Loading...
Share This