Khamis, 26 Disember 2019

Jamawi yakin perpaduan mampu bawa pembangunan

RASMI: Jamawi menurunkan tandatangan pada plak yang disediakan sebagai simbolik perasmian ulang tahun ke-40 kampung Tilis, Kemabong.
KEMABONG: Perpaduan dalam kalangan penduduk kampung penting kerana ia secara tidak langsung mampu membawa kepada kemajuan kampung, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar.

Menurut beliau ianya akan memudahkan pemimpin dan kerajaan menyalurkan keperluan dan pembangunan demi kepentingan rakyat.

Justeru katanya, perpaduan serta kerjasama penduduk di sesebuah kampung itu penting bagi memastikan segala perancangan serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan dari kerajaan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Komuniti kampung perlu memberi keutamaan serta kerjasama kepada semua aspek dan aktiviti yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke 40 tahun kampung Tilis di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Tenom Norita Sual.

Dalam pada itu, Jamawi turut memuji usaha serta kerjasama erat di kalangan penduduk di kampung berkenaan kerana banyak perubahan dapat dilakukan dengan adanya sikap muafakat dalam kalangan penduduknya.

"Saya telah merasmikan sambutan 30 tahun Kampung Tilis sebelum ini dan hari ini 10 tahun kemudian, saya hadir di sini merasmikan program yang sama dan memang tidak dinafikan banyak perubahan yang berlaku di kampung ini," katanya.

Beliau berharap dengan kesepakatan yang ada kampung berkenaan bukan sahaja membangun dari sudut insfrastruktur namun ekonomi penduduk juga dapat dipertingkatkan.

Tambahnya, penduduk kampung Tilis harus melibatkan diri dalam sektor pelancongan komuniti melalui koperasi penduduk kampung dengan menjadikan sambutan tersebut sebagai produk pelancongan dengan menjadikan budaya kehidupan, kraf tangan dan lain-lain yang ada di kampung itu sebagai daya tarikan pelawat dari luar datang ke kampung berkenaan.

"Saya yakin pada 2020 nanti kampung ini akan dapat melibatkan diri dalam sektor pelancongan berasaskan komuniti sebagai mana sasaran saya sekurang-kurangnya 10 buah kampung lagi di DUN Kemabong dapat dimajukan dalam sektor ini," katanya.

Jamawi menambah sebagai wakil rakyat serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemabong sentiasa memberikan sokongan apa jua program yang dilakukan oleh masyarakat kampung demi kebaikan masyarakat setempat.

oleh Kenneddy Corlleus, Utusan Borneo

Loading...
Share This