Jumaat, 27 Disember 2019

Ibu berpantang lompat dari tingkap untuk selamatkan diri, bayi

Nurshafieka antara mangsa yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Sembulan. - NSTP/Norasikin Daineh
KOTA KINABALU: Wanita berpantang terpaksa melompat dari tingkap rumahnya untuk menyelamat bayi perempuannya dalam kebakaran tiga rumah di Kampung Sembulan Baru, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Nurshafieka Rahim, 23, yang baru saja melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu terpaksa terjun pada ketinggian kira-kira tiga meter, namun bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

Mereka antara 93 penduduk yang tinggal sehelai sepinggang selepas tiga rumah yang didiami di kampung itu terbakar. Semua penduduk dilaporkan terselamat dan ditempatkan di Dewan Sembulan sebagai penempatan sementara.

Beliau berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama bayinya manakala suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Saya masuk tidur pada jam 7 malam tapi terbangun ketika kejadian kerana terhidu bau asap dan terdengar jeritan kakak mengatakan ada api.

“Saya kemudian terkejut apabila tiba-tiba melihat api sudah ada di hadapan pintu bilik dan terpaksa keluar dari tingkap bilik sambil memeluk erat bayi saya sebelum melompat ke arah tong air dan seterusnya melompat terus ke tanah,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Sembulan, di sini, hari ini.

Nurshafieka berkata, dia terpaksa berbuat demikian demi menyelamatkan diri dan bayinya kerana keadaan ketika itu sudah terlalu genting.

“Mujur saya dan bayi tidak mengalami kecederaan selepas melompat dari tingkap bilik.

“Cuma bayi saya mungkin sedikit terkejut dan menangis namun semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Elnah Ukan, 60, berkata mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan di dalam rumah dan terpaksa menanggung kerugian lebih RM500 untuk persiapan barang persekolahan lima cucunya.

“Pakaian dan peralatan sekolah lima cucu saya yang akan memulakan persekolahan minggu hadapan sudah disediakan sejak kelmarin.

“Tetapi semuanya tidak sempat diselamatkan dan musnah terbakar dalam kejadian semalam,” katanya.

Elnah berkata, mujur semua ahli keluarganya seramai 18 orang terselamat di dalam kejadian itu dan kini mereka semua ditempatkan di dewan itu buat sementara waktu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.32 malam.

Seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, BBP Penampang dan BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kebakaran anggota mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal terbakar dan terdapat empat motosikal turut musnah dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 12.05 tengah malam dan operasi ditamatkan pada jam 1.20 pagi, namun punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This