Selasa, 24 Disember 2019

Empat lelaki ditahan curi kambing di Kota Belud

Kambing yang disyaki dicuri berjaya ditemui dalam kereta dinaiki suspek. – Gambar SNT /Ihsan IPD Kota Belud
KOTA BELUD: Empat lelaki yang disyaki ‘dalang’ mencuri lembu dan kambing sekitar daerah ini dikejar sejauh lima kilometer bersama seekor kambing disyaki dicuri sebelum ditahan selepas dua kereta dinaiki mereka dipintas dan sebuah lagi terbabas.

Keempat-empat suspek ditahan dalam Ops Krismas/Pintu/kesan di kawasan pekan daerah ini dan Kampung Lebak Moyuh, antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang tadi.

Tangkapan berkenaan susulan laporan yang diterima berkaitan kes curi kambing di Kampung Bangkahak, pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud yang membuat risikan dan intipan kes curi binatang ternakan di daerah ini mengesan dua kereta yang sedang memindahkan tiga ekor kambing yang disyaki dicuri ke kereta pembeli.

“Menyedari kehadiran polis, keempat-empat suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua kereta jenis Perodua Myvi.

“Pasukan polis kemudian mengejar kereta suspek di kawasan Kampung Tempasuk, Sembirai, kawasan pekan dan Kampung Lebak Moyoh sejauh lima kilometer sebelum meminta satu kereta manakala sebuah lagi terbabas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Empat lelaki di tahan bersama seekor kambing curi dalam kereta. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud
Mohd Zaidi berkata semua suspek lelaki berusia 30, 32, 37 dan 56 tahun ditahan dan di bawa ke Balai Polis Kota Belud untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menemui tiga ekor kambing disyaki dicuri oleh suspek terbabit dan tiga telefon bimbit.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek disyaki terbabit dalam 25 kes jenayah di daerah ini membabitkan kes curi tong gas, lembu, kambing dan pecah rumah pada 2018 dan tahun ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – SabahNewsToday

Loading...
Share This