Ahad, 22 Disember 2019

Dua mangsa culik warga Indonesia diselamatkan tentera Filipina

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Indonesia yang diculik di perairan Lahad Datu pada September lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi ketenteraan di Sulu, selatan negara itu awal pagi tadi.

Kedua-dua mereka ditemui selamat selepas pertempuran di antara tentera Filipina dengan kumpulan penculik dipercayai didalangi Abu Sayyaf.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, mengesahkan dua mangsa terbabit, Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, diselamatkan di Barangay Pugad Manaul, Panamo, Sulu.

Katanya, seorang lagi mangsa, Muhammad Farhan, 27, yang turut dilarikan dalam insiden penculikan September lalu, bagaimanapun belum diketahui nasibnya.

“Kedua-dua mangsa kini di bawah jagaan pasukan keselamatan Filipina dan kita masih berhubung dengan mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kedua-dua mangsa itu, termasuk seorang lagi yang gagal dikesan,” katanya, ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada 23 September lalu, tiga nelayan warga Indonesia dilaporkan diculik di perairan Lahad Datu, berhampiran sempadan selatan Filipina dengan kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 11.50 pagi.

Menurut sumber, sebaik saja mendapat maklumat, pasukan keselamatan melakukan pencarian sebelum menemui bot kosong dengan enjin masih hidup di perairan berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki bersenjata, sebelum melarikan diri ke arah perairan Pulau Tawi-Tawi, di selatan Filipina.

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah, Berita Harian

Loading...
Share This