Ahad, 29 Disember 2019

Didakwa di mahkamah kerana miliki rokok seludup RM48.16 di Inanam

KOTA KINABALU: Seorang penjual surat khabar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didakwa memiliki 31 bungkus rokok seludup bernilai RM48.16.

Ngan Seng Ka @ Gan Seng Ka, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Afiq Agoes.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stor tangga, tingkat bawah di Light Industry Shop House, Lorong Kelapa, Batu 5 1/2, Jalan Tuaran, Inanam, kira-kira jam 3 petang, Isnin lalu.

Tertuduh, dengan disedari memiliki barang larangan iaitu dua bungkus rokok LA Menthol Lights, Era Premium (tujuh), Era Ice Plus (dua), D&J Ice Plus (tiga), Premium Private Blend (tiga), Premium International (lima), Satu Mild Menthol (dua), Apache Premium Kretek (dua) dan lima bungkus rokok Era Black Menthol yang bernilai RM48.16.

Rokok berkenaan adalah tertakluk kepada barang larangan import di bawah butiran 1, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Job Jau yang memohon ikat jamin dikenakan kepada tertuduh sebanyak RM20,000 bersama dua penjamin tempatan yang beralamat di daerah ini dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri kepada pegawai penyiasat dua minggu sekali.

Job dalam pendakwaannya berkata, nilai ikat jamin dikenakan tinggi kerana kesalahan tertuduh yang boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguamnya, Jul Hamri Jumhani meminta jaminan dikurang kerana anak guamnya hanya berpendapatan sebanyak RM500 sebulan sebagai penjual surat khabar selain mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Afiq kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,500 dan perlu melaporkan diri kepada JKDM dua minggu sekali.

Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes tertuduh pada 20 September depan.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This