Sabtu, 21 Disember 2019

Detik cemas bot milik Kastam ditembak penyeludup di perairan Semporna

Lokasi  bot milik Kastam ditembak penyeludup di perairan Semporna
SEMPORNA: Seorang pegawai dan empat anggota penguat kuasa Kastam cawangan Lahad Datu telah diserang sewaktu membuat risikan ke atas penyeludupan minyak di perairan Semporna kira-kira pukul 3.40 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna Supritendan Sabarudin Rahmat dalam kenyataan media berkata, siasatan awal mendapati, sepasukan Penguatkuasa Kastam cawangan Lahad Datu yang diketuai oleh Ketua Kastam daerah itu bergerak ke perairan Semporna menggunakan bot Pemintas 103 untuk tujuan risikan.

"Semasa menghampiri perairan Bohey Dulang, pasukan ini telah melihat sebuah bot laju berukuran enam meter berwarna putih-biru dan dinaiki kira-kira tujuh orang memecut laju dalam jarak kira-kira satu kilometer dari bot pasukan tersebut," katanya.

Bot milik Kastam yang terlibat dalam kes tembakan di perairan Semporna pada Jumaat. - Kastam/PDRM
Jelas Sabarudin, pasukan ini cuba memintas bot laju itu dan siren dibunyikan, suspek masih enggan berhenti dan pada jarak kira-kira 200 meter, tembakan dilepaskan ke arah bot yang dinaiki penguatkuasa.

"Atas faktor keselamatan diri, pasukan tersebut membalas tembakan dan suspek berjaya melarikan diri ke perairan antarabangsa Filipina-Malaysia.

"Pada pukul 9.56 malam, pasukan penguat kuasa terbabit telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk membuat laporan," katanya.

Tambahnya lagi, pegawai dan anggota penguatkuasa tidak mengalami kecederaan serius akibat kejadian itu.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan pasukan IPD Semporna bekerjasama dengan Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mendapatkan maklumat berkaitan suspek," katanya.

Loading...
Share This