Rabu, 25 Disember 2019

Cuti tambahan perayaan Krismas beri makna kepada penganutnya

Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO 2019 di Ranau hari ini
RANAU, 25 Dis -- Pengumuman cuti am tambahan oleh kerajaan negeri Sabah sempena sambutan perayaan Hari Krismas bermula pada tahun ini disambut dengan perasaan syukur dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang menyambut perayaan itu.

Perasaan itu dikongsi oleh Ketua Pemuda Pusat Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang, 45, yang berkata buat pertama kalinya pada tahun ini, cuti umum untuk perayaan itu disambut selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Dis.

“Hari ini kita lihat ramai pengunjung hadir ke majlis Rumah Terbuka Krismas ini yang membuktikan bahawa di negara ini khususnya di Sabah sangat bertuah walaupun dalam pelbagai agama tetapi semua bersama-sama meraikan Hari Krismas,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO, di Dewan Masyarakat Ranau, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau turut hadir dalam sambutan itu bersama menteri Kabinet negeri lain.

Sementara itu, Pembantu Perubatan Chyrill Gules John, 30, pula berkata dengan pemberian cuti itu memberi lebih banyak waktu kepadanya untuk bersama-sama keluarganya di Kampung Marakau untuk menyambut perayaan Krismas.

Mesra dengan panggilan Aril, beliau bertugas di Klinik Kesihatan Jalan Perak, Pulau Pinang, akan pastikan setiap Hari Natal pulang ke Sabah.

“Walaupun baru dua tahun bertugas di Pulau Pinang, tetapi memang setiap tahun saya akan bersama keluarga untuk sambutan Krismas kerana lebih meriah sambil dapat membantu menyediakan persiapan untuk sambutan itu,” katanya.

Bagi Nancy Lau, 40, yang berasal dari daerah Keningau pula berkata pemberian cuti itu dilihat adil kerana sebelum ini semua perayaan diberikan dua hari cuti dan pada tahun ini sambutan Hari Krismas dapat dirasai kemeriahannya.

Katanya, dengan pemberian cuti dua hari membolehkan dia bertemu rakan-rakannya dan datang ke Ranau untuk bersama-sama menyambut Krismas di samping merasai kemeriahan majlis itu bersama pelbagai lapisan masyarakat yang hadir.

Pada 11 Dis lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan 24 Dis sebagai cuti am tambahan sempena Perayaan Krismas bermula tahun ini dan akan menjadikan tambahan satu hari lagi cuti am termasuk pada 25 Dis.

-- BERNAMA

Loading...
Share This