Khamis, 19 Disember 2019

Cukuplah beralasan, turun harga makanan sekarang, Daim tegur kerajaan

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin
KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin hari ini bimbang akan ketiadaan langkah-langkah mengurangkan harga makanan, mengatakan “tiada masa untuk beralasan lagi”.

“Tunjukkan hasilnya,” katanya pada sesi soal jawab di Siri Kuliah Tunku Abdul Rahman ke-29 hari ini.

Beliau berkata pertanian juga akan mencipta pekerjaan, serta menyediakan makanan segar dan gaya hidup lebih sihat kepada rakyat.

Beliau juga membidas kerajaan negeri kerana tidak melakukan secukupnya untuk mengalakkan petani meningkatkan keselamatan makanan.

Beliau menulis kepada semua kerajaan negeri meminta tanah disediakan untuk tujuan pertanian supaya lebih ramai orang boleh bertani, terutama profesional.

“Jawapan daripada beberapa negeri amat mengalakkan tetapi ada beberapa tak mahu jawab pun. Pada masa pilihan raya, mereka akan datang merayu undi.

“Mereka lupa yang mereka mewakili rakyat.”

Daim berkata beliau berjalan ke serata negara dan mendapati terdapat banyak tanah terbiar walaupun kerajaan membawa slogan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang termasuk membangunkan sektor pertanian.

“Tetapi dalam Belanjawan 2020, tidak cukup peruntukan untuk pertanian,” katanya, dan tertanya adakah Putrajaya serius menangani isu pertanian.

“Rakyat tak puas hati dengan kenaikan kos sara hidup. Isu itu tidak ditangani walaupun tak susah selesaikan masalahnya,” tambahnya.

Beliau memberikan contoh sayur mengambil masa 22 hari hingga 3 bulan untuk membesar. “Buah-buahan pula maksimum 1 tahun dan dalam beberapa kes 75 hari.”

Dalam kembaranya ke serata negara, beliau ternampak profesional seperti jurutera dan peguam menjadi petani berjaya tetapi mereka tiada akses kepada tanah dan pembiayaan.

Daim mencadangkan satu agensi khas bagi menangani isu itu.

“Tanah mesti mudah disediakan,” tambahnya.

Katanya, tanah yang tersedia mesti diberikan kepada mereka yang cenderung untuk bertani selama 30 tahun. Ini akan mencipta pekerjaan dan menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang diperlukan.

“Ini tidak dilakukan.”

Daim berkata Malaysia boleh mengurangkan import makanan sebanyak 30% dalam tempoh 3 tahun jika isu tanah dan pembiayaan diatasi.

Seorang peserta menyoal adakah kerajaan mempunyai iltizam politik yang kuat untuk menangani isu keselamatan makanan.

Daim berkata kehendak rakyat adalah kuat hingga membawa kepada perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018.

“Tetapi dalam beberapa bulan ini, rakyat masih kecewa. Keadaan nampak seperti tidak bergerak. Kerajaan nampak seperti mengabaikan sentimen-sentimen itu. Jangan perkecilkan rakyat.”

Beliau berkata proses birokrasi bagi mereka yang meminta bantuan harus dikurangkan kerana terdapat terlalu banyak agensi.

“Untuk dapat pembiayaan pun, 20 agensi terlibat. Cukuplah hanya 5 agensi,” katanya.

Dua hari lalu, Daim berkata seorang ahli perniagaan bertemunya dan memberita dia perlu 80 lesen berbeza untuk mula berniaga.

Beliau mengeleng dan menambah: “Terlalu banyak birokrasi. Ia perlu dimudahkan.”

Pada 2017, Malaysia mengimport RM51.3 bilion produk makanan. Ia meningkat kepada RM52 bilion pada 2018.


Loading...
Share This