Selasa, 24 Disember 2019

Berbeza Agama, Anak Tetap Raikan Krismas Bersama Ibu Bapa Kristian


KOTA KINABALU: Duduk makan semeja dengan rakan sekerja berlainan agama bukan sesuatu yang asing di Sabah.

Berdoa mengikut agama masing-masing ketika hendak menjamah makanan juga situasi yang biasa dilihat di kedai-kedai makan.

Begitu juga dalam meraikan sambutan Krismas.

Mempunyai ahli keluarga yang berlainan agama untuk meraikan perayaan Krismas bersama-sama bukan sesuatu yang asing di Sabah.

Ahli keluarga yang beragama Islam dilihat berkumpul bersama-sama bagi meraikan sambutan Krismas bersama ibu bapa yang beragama Kristian.

Itu keunikan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini. Keharmonian kaum yang wujud di Sabah sentiasa menjadi contoh terbaik kepada masyarakat luar.

Begitulah keharmonian yang dapat dilihat dalam keluarga Narul Andau, 70, yang merupakan atlet Malaysia dalam acara lompat jauh, lompat tinggi dan lompat kijang kategori warga emas.

Ayah kepada empat orang anak ini sentiasa merasa teruja setiap kali perayaan Krismas.

“Ketika inilah anak-anak saya yang bertugas jauh di Semenanjung Malaysia akan pulang untuk meraikan Krismas bersama-sana.

“Saya bangga kerana dengan adanya cuti Krismas tambahan tahun ini, anak-anak serta cucu saya dapat meluangkan lebih banyak masa di kampung,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Telibong, Tamparuli, di sini hari ini.

Pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ini berkata, beliau gembira dapat berkumpul bersama-sama anak-anak setiap kali Krismas.

Walaupun ada antara anaknya yang beragama Islam namun, perayaan Krismas tetap diraikan secara bersama.

Katanya, dua daripada empat anaknya beragama Islam sementara dua lagi beragama Kristian.

“Walau berlainan agama tapi anak-anak saya sentiasa membantu apabila tibanya Krismas.

“Mereka bergotong-royong membuat persiapan menghias rumah dan pokok Krismas serta membantu masak hidangan untuk kami sekeluarga,” ujarnya.

Namun pada tahun ini, anak sulungnya yang bekerja di Lembah Klang tidak dapat balik kerana kekangan tugas.

Katanya, selain meraikan Krismas, mereka sekeluarga turut meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama.

Menurutnya, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, anak-anak akan berkumpul di kampung dan meraikannya bersama mereka.

Narul bakal mewakili Malaysia dalam tiga acara lompatan di Toronto, Kanada pada tahun depan.

Sementara itu, bagi anak keduanya, Melissa, meraikan Krismas bersama keluarga antara perayaan yang dinanti-nantikan oleh mereka empat beradik.

Biarpun beliau beragama Islam namun, ibu bapa yang menyambut Krismas perlu diraikan.

“Saya bersyukur dapat meraikan sambutan Krismas ini bersama keluarga.

“Biarpun kami berlainan agama tapi kami sama-sama menyambut perayaan ini dengan meriah,” ujarnya. - BorneoToday


Loading...
Share This