Jumaat, 20 Disember 2019

Bentang kertas Kabinet berhubung cadangan keluarkan PSS

MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick. NSTP/Ihsan KPLB
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan supaya satu kertas Kabinet dibentangkan bagi membuat keputusan berhubung cadangan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata setakat ini, hanya taklimat diberikan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) berhubung PSS, namun belum ada keputusan muktamad oleh kerajaan negeri.

“Dalam taklimat, kita mengemukakan maklum balas supaya tindakan diambil Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mereka kembalikan kepada Kabinet Sabah.

“Justeru setakat ini, Kabinet Sabah memutuskan supaya satu kertas Kabinet perlu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet. Saya fikir ketika itu, kita akan berbincang untuk membuat ketetapan mengenai cadangan mengadakan PSS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menganjurkan jamuan Krismas di Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Sabah (KPLB) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berkata, kewujudan pendatang asing di negeri ini adalah masalah utama bagi rakyat Sabah.

“Selepas mengambil maklum bahawa ini adalah masalah nombor satu, kita perlu membuat ketetapan untuk menyelesaikannya. Ia bukan seperti dilakukan selama ini yang terbukti tidak dapat menyelesaikan masalah pendatang asing, terutama mereka yang memiliki dokumen meragukan.

“Penyelesaian harus berorientasikan kehendak rakyat Sabah kerana masalah ini akan menjejaskan keseluruhan rakyat di negeri ini, keselamatan dan kedaulatan Sabah.

“Rakyat Sabah berhak mengemukakan input kepada kerajaan negeri. Oleh itu, kertas Kabinet perlu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet selepas kita mengambil kira input yang bukan hanya daripada parti politik, barisan menteri dan wakil rakyat tetapi juga pelbagai segmen masyarakat, terutama rakyat Sabah,” katanya.

Sehubungan itu sebagai kerajaan prihatin, beliau berkata, suara semua pihak perlu diambil kira untuk dijadikan jalan penyelesaian masalah berkenaan.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This