Sabtu, 21 Disember 2019

Banjir: Jumlah mangsa di Tenom meningkat

JUMLAH mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Selagon di Beaufort meningkat kepada 403 orang membabitkan 142 keluarga, pagi ini.

Sebanyak 37 kawasan terjejas banjir bagi daerah Beaufort dan Membakut, dengan penduduk yang berpindah ke PPS membabitkan 13 kampung.

Penduduk Kampung Bakalau mencatatkan penduduk paling ramai dipindahkan ke PPS iaitu seramai 256 orang, disusuli Kampung Suasa (80 orang) dan Kampung Baitam Baru (24 orang).

Selebihnya adalah Kampung Jambatan Baru, Balibata, Binunuk, Baitam Laut, Papas, Mapait, Dungau, Luagan, Padas Valley dan Bingkul.

Berdasarkan jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), paras sungai di Beaufort dan Membakut masih pada tahap bahaya iaitu masing-masing 8.93 meter (m) dan 6.68 m setakat 7 pagi tadi.

Selain itu, sekurang-kurangnya 12 jalan masih terputus hubungan.

PPS di Kampung Selagon dibuka semula pada Khamis lalu selepas lima hari ditutup apabila banjir pulih di kawasan berkenaan pada 14 Disember.

Di Tenom, bacaan paras air Sungai Padas pula kini berada pada paras normal iaitu 157.8 m dengan hanya tinggal tiga PPS yang beroperasi iaitu Rumah Kebudayaan Mandalom Lama, Dewan Seri Antanom dan Rumah Kebudayaan Batu-Batu.

Tiga PPS itu menempatkan seramai 87 mangsa membabitkan 27 keluarga dari beberapa kampung yang masih terjejas banjir.

Antara kampung terjejas adalah Kampung Gumisi Laut, Maugus, Enubai, Ponontomon, Pantangon Saga, Pulungan dan Belumbung Seberang.

Sebanyak 12 PPS sudah ditutup secara berperingkat bermula 2 petang semalam, manakala hanya sebuah jalan yang masih terputus hubungan iaitu Jalan Binsilon Tumantalik.

Oleh Poliana Ronnie Sidom, Harian Metro

Loading...
Share This