Ahad, 29 Disember 2019

Anifah mohon PRK Kimanis ditangguh

PETALING JAYA: Bekas menteri luar Anifah Aman memohon menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) Kimani s dijadualkan 18 Jan ini sementara menunggu semakan ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan.

Notis permohonan yang difailkan oleh peguam Anifah dan dilihat oleh FMT menyebut bahawa wujud keadaan khas bagi menangguhkan PRK itu sementara permohonan semakan didengar dan keputusan dibuat.

Anifah sebelum ini memfailkan permohonan semakan di bawah Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995, tetapi mahkamah tertinggi itu belum menetapkan tarikh pendengaran.

Peguam Faizal Sarbi yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan menangguhkan PRK itu esok.

“Beliau memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis yang mengarahkan satu PRK diadakan bagi kerusi Parlimen Kimanis.

“Justeru, beliau juga mahu mahkamah menghentikan SPR daripada menjalankan pilihan raya sementara semakan didengar dan keputusan dibuat,” Faizal memberitahu FMT.

Katanya, SPR akan membantah permohonan penangguhan itu.

FMT difahamkan bahawa peguam pemimpin Warisan, Karim Buang yang memfailkan petisyen meminta PRK diadakan juga akan menentang langkah Anifah.

Pada 16 Dis, pengerusi SPR Azhar Azizan Harun mengumumkan hari penamaan calon bagi PRK Kimanis akan diadakan pada 4 Jan, sementara hari mengundi pada 18 Jan.

Mahkamah Persekutuan mengisytiharakan pemilihan Anifah dalam pilihan raya umum tahun lepas terbatal dan tidak sah berikutan salah laku oleh SPR dalam mengendalikan Borang 13 dan 14 melibatkan 341 kertas undi.


Wujud beberapa percanggahan dan ketidakpatuhan kepada undang-undang pilihan raya, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel 5 hakim ketika membuat keputusan sebulat suara.

Berikutan keputusan itu, Anifah yang merupakan bekas ahli Umno, menyuarakan kekecewaan beliau terhadap langkah SPR tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya kerana “pegawai mereka yang melakukan kesalahan”.

Pada PRU 14, Anifah memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti kecil 156 undi dalam persaingan 3 penjuru. Beliau meraih 11,942 undi, sementara Karim mendapat 11,786 undi dan calon Pakatan Harapan, Jaafar Ismail 1,300 undi. - Free Malaysia Today


Loading...
Share This