Sabtu, 28 Disember 2019

Amanah Sabah pastikan kemenangan calon Warisan pada PRK Kimanis

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara negeri Sabah akan membantu memastikan kemenangan calon Parti Warisan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Pengerusi  Parti Amanah Negara Negeri Sabah Lahirul Latigu berkata, semua jentera parti dari seluruh kawasan di negeri ini akan digerakkan.

"Parti Amanah Sabah akan menyokong serta bekerja keras untuk memastikan kemenangan Warisan di Parlimen Kimanis dan  jentera pilihan raya parti  di semua peringkat termasuk Sayap Pemuda dan Wanita,  serta Warda akan diaktifkan.

"Jentera Amanah akan diaktifkan segera untuk turun padang bertemu masyarakat dan ahli di kawasan Kimanis untuk menyokong calon Warisan pada PRK kali ini.

"Calon Warisan mempunyai kelebihan dan kita (Amanah) dan rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) akan membantu sedaya upaya selaras dengan misi Amanah Sabah yang ingin memakmurkan negeri berpaksikan semangat setiakawan dalam kerajaan Sabah.

"Maka kita sepakat dan bersetuju calon Warisan akan bertanding di kerusi Kimanis kali ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada 16 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis akan diadakan pada 18 Januari, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari.

Pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Januari. PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan Kerusi Parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kawasan terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan Pilihan Raya. 

Pada PRU14, calon Warisan Datuk Karim Bujang yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis tewas tipis 156 undi kepada Anifah.

Karim kemudiannya memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN). - Utusan Borneo

Loading...
Share This