Isnin, 30 Disember 2019

AK9327 mendarat cemas, penumpang selamat

PESAWAT AirAsia penerbangan AK9327 terpaksa berpatah balik dan terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini.

Bagaimanapun, 151 penumpang dan lima anak kapal pesawat berkenaan selamat.

Insiden dilaporkan berlaku selepas tiga minit pesawat berlepas dari LTAL menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9.17 pagi.

Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi Jefry Ramli berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerima maklumat berkaitan pesawat terbabit yang menghadapi masalah teknikal pada 9.20 pagi.

“Maklumat berkaitan pesawat berhadapan masalah diterima daripada Menara Kawalan Trafik Udara LTAL.

“Sejurus itu, pihak Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bersedia bersama tiga jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi.

Jefry berkata, pesawat dilaporkan selamat mendarat pada 9.30 pagi dan selepas semua penumpang dapat keluar dengan selamat, pesawat kemudiannya diiring ke tempat parkir pesawat. - Harian Metro

Loading...
Share This