Sabtu, 28 Disember 2019

Agensi berkaitan diminta percepat proses ganti semula dokumen mangsa kebakaran

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong ketika melawat mangsa kebakaran 
KOTA KINABALU: Agensi berkaitan diminta mempercepatkan proses penggantian semula dokumen peribadi mangsa kebakaran di Kampung Sembulan Baru bagi memudahkan penduduk melakukan urusan harian.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata pihaknya dimaklumkan ramai dalam kalangan penduduk terjejas tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing termasuklah dokumen pengenalan diri.

“Kira-kira seminggu lagi kita akan memasuki tahun baru sekaligus sesi persekolahan bakal bermula dan kanak-kanak atau golongan pelajar pastinya memerlukan dokumen peribadi untuk proses pendaftaran atau perpindahan sekolah.

“Ibu bapa juga tentunya memerlukan dokumen mereka untuk menjalani aktiviti harian seperti urusan-urusan rasmi.

“Oleh itu, kita berharap penggantian semula dokumen ini dipermudahkan dalam usaha membantu mangsa kebakaran ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa kebakaran di Dewan Sembulan di sini, hari ini.

Seramai 103 penduduk termasuk 14 mangsa bukan warganegara daripada 22 keluarga yang terlibat dalam kebakaran ditempatkan di dewan Sembulan.

Wang ihsan sebanyak RM400 disampaikan kepada setiap ketua isi rumah dalam meringankan beban penduduk.

Dalam pada itu, Safar berkata pihaknya meminta penduduk yang terlibat kebakaran namun belum mendaftar kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am agar melakukan pendaftaran segera bagi memudahkan proses penyaluran bantuan.

Sementara itu, ditanya mengenai bantuan pembinaan semula semua rumah terlibat kebakaran, Safar menyatakan kerajaan negeri belum memikirkan berkaitan bantuan seumpama itu.

“Semua rumah yang terbakar ini adalah dibina di tanah geran individu dan mangsa terjejas kebanyakkan penyewa sahaja.

“Setakat ini, kita memang berhasrat untuk memberi bantuan membina semula rumah terbakar,” katanya.

Terdahulu, sebanyak empat buah rumah serta empat motosikal musnah dijilat api dalam kejadian pada pukul 11.30 malam, semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan ekoran semua penghuni sempat melarikan diri ketika api sedang marak. 

– SabahNewsToday

Loading...
Share This