Jumaat, 27 Disember 2019

93 penduduk tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran di Sembulan

Kebakaran di Kampung Sembulan Baru, malam tadi. - Foto sosial media
KOTA KINABALU: Seramai 93 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas tiga rumah yang mereka diami di Kampung Sembulan Baru, terbakar malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, semua penduduk dilaporkan terselamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.32 malam.

Seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, BBP Penampang dan BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kebakaran anggota mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal terbakar dan terdapat empat motosikal turut musnah dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kebakaran di Kampung Sembulan Baru, malam tadi. - Foto sosial media
Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 12.05 tengah malam dan operasi ditamatkan pada jam 1.20 pagi, namun punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Semua mangsa kini ditempatkan di Dewan Sembulan sebagai penempatan sementara.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This