Jumaat, 20 Disember 2019

5 maut kemalangan rempuh belakang lori

Lima maut dalam kemalangan membabitkan Myvi dan lori muatan buah di Lebuhraya Plus km 427.5 arah selatan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung pada jam 5 pagi tadi.- Foto ihsan PDRM
KUALA KUBU BHARU: Lima maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpangnya, Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah Jalim@Jamil, 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab Rahman, berkata kereta Perodua Myvi dinaiki kelima-lima mangsa merempuh sebuah lori membawa muatan buah dari arah belakang.

“Kemalangan ini berlaku ketika lori terbabit dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari Selama menuju ke Selayang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan empat penumpang kereta Myvi terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Berita Harian

Anggota Polis memeriksa kenderaan yang menyebabkan lima maut dalam kemalangan membabitkan Myvi dan lori muatan buah di Lebuhraya Plus km 427.5 arah selatan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung pada jam 5 pagi tadi. - Foto ihsan PDRM


Loading...
Share This