Khamis, 14 Mac 2019

Warga Indon dijel 11 tahun, rogol gadis bawah umur hingga hamil


KOTA KINABALU: Seorang warga Indonesia berumur 23 tahun yang merogol seorang gadis bawah umur sehingga hamil, dipenjara 11 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu kepada Muhamad Taufiq selepas dia mengaku terhadap dakwaan ke atasnya.

Dia merogol remaja berumur 15 tahun itu pada jam 2 pagi pada 20 November 2018 di sebuah bilik sewa di Putatan.

Kesalahan di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu, membawa hukuman penajra sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Mahkamah memerintahkan Muhamad yang tidak mempunyai dokumen menjalani hukuman penjara dari tarikh sebitan.

Semasa mitigasi, Muhamad yang tidak diwakili meminta hukuman ringan mengatakan dia mempunyai ibu bapa di Indonesia yang sakit dan tidak ada yang menjaga adik beradiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip menggesa mahkamah mengenakan satu hukuman pencegahan terhadap Muhamad yang telah melakukan satu kesalahan serius ke atas seorang gadis bawah umur.

Beliau berkata Muhamad telah memusnahkan masa depan gadis itu yang hamil akibat daripada kejadian rogol itu tetapi gadis itu telah keguguran. 

Rustam menambah bahawa hukuman itu mesti memberi amaran dan menghalang yang lain daripada melakukan kesalahan serupa.

Mahkamah mendengar bahawa seorang doktor yang merupakan pengadu membuat laporan polis selepas dia mendapati gadis itu hamil.

Siasatan mendedahkan bahawa Muhamad telah mengadakan hubungan seks dengan gadis itu di tempat tersebut dan semasa kejadian itu gadis itu masih di bawah umur.

Muhamad ditangkap selepas itu.

Loading...
Share This