Khamis, 21 Mac 2019

Video Presiden MPS Tular, Sebenarnya Ini Yang Berlaku


Presiden MPS jelas Video tular marah kakitangan SESB

SANDAKAN: Memotong bekalan elektrik di Dewan Kampung Air yang menempatkan mangsa kebakaran yang berdepan musibah disifatkan sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik berkata, tindakan memotong bekalan elektrik di dewan itu menyebabkan beliau terpaksa meninggikan suara kerana rayuan dibuat tidak dipedulikan.

Maka, beliau tampil memberi penjelasan tentang insiden beliau meninggikan suara kepada kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu video yang ditularkan sejak Isnin (18 Mac).

Pemotongan bekalan elektrik yang dilakukan di dewan itu oleh kakitangan SESB menyebabkan mangsa kebakaran berada dalam keadaan tidak selesa dan kepanasan.

Apabila mangsa di situ mengadu mengenai ketiadaan bekalan elektrik sejak 1 petang maka, MPS merayu kepada SESB agar menyambung semula bekalan elektrik di dewan yang kini digunakan untuk menempatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Air yang berlaku pada Ahad.

”Bagaimanapun, pegawai SESB enggan menyambung semula bekalan elektrik di situ dan meminta MPS memberi jaminan untuk menyelesaikan bil yang tertunggak,” katanya ketika melawat dan menyampaikan bantuan mangsa kebakaran di Dewan Kampung Air, di sini pada Isnin.

Peter mengakui bil elektrik tertunggak di dewan itu sudah mencecah RM2,900. Namun, MPS akan membayar tunggakan berkenaan dengan kadar segera dan meminta bekalan elektrik di situ disambung terlebih dahulu.

Katanya, bekalan perlu disambung semula demi keselesaan mangsa-mangsa kebakaran.

Menurutnya, keengganan pihak SESB menyambung semula bekalan elektrik membawa kepada perselisihan faham hingga menyebabkan beliau terpaksa meninggikan suara seperti yang dirakam dalam video yang ditularkan.

”Kenapa tiada nilai perikemanusiaan dalam diri kita. Tidakkah kita kesian melihat mangsa-mangsa kebakaran yang berdepan musibah ini. Mereka ini terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan orang dewasa.

”Pemotongan bekalan tidak seharusnya dilakukan semasa ada penempatan dilakukan di dewan ini. SESB boleh sahaja memotong bekalan pada waktu lain kenapa mesti sekarang,” jelasnya.

Selepas perselisihan faham berlaku melalui panggilan telefon akhirnya pihak SESB datang ke dewan itu menemui Peter dan pegawai MPS yang berada di situ.


Ketika Peter ingin menjelaskan tunggakan, pegawai SESB berkenaan enggan menerima wang tunai dan wakil MPS terpaksa ke Pejabat SESB bagi menyelesaikan tunggakan bil yang ada.

Apabila tunggakan dijelaskan barulah penyambungan bekalan elektrik yang dipotong di dewan itu disambung semula kira-kira jam 4 petang.

Loading...
Share This