Ahad, 10 Mac 2019

Tiada rombakan kabinet dalam kabinet Sabah - Ketua Menteri


KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal memberi jaminan bahawa tiada rombakan Kabinet Sabah akan berlaku dengan penyertaan beberapa bekas Adun Barisan Nasional (BN) ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau berkata Kerajaan Negeri tidak akan melakukan rombakan kerana perkara itu sudah dibincangkan secara panjang bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang ingin menyertai Warisan.

Katanya, penyertaan Adun-Adun itu tidak dijanjikan sebarang jawatan mahupun pangkat.

”Bagi kita apa yang penting adalah untuk mentadbir dan membangunkan negeri ini dengan semangat kesepaduan yang ada.

”Permuafakatan ini tidak berlandaskan proses tawar-menawar kerana ini adalah atas keredhaan serta keikhlasan mereka (Adun) yang ingin bersama-sama kita (Warisan) untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

”Mereka (Adun) yang menyertai kita ini lebih mementingkan rakyat daripada kedudukan jawatan dan pangkat.

”Walaupun mereka sedar bahawa pangkat dan jawatan membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dalam sistem penyampaian tetapi, mereka mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet Negeri setelah beberapa bekas Adun BN ke dalam Warisan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pemimpin bersama Rakyat, di Kampung Taun Gusi, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang adalah usaha membangunkan dan memajukan negeri ini.

Mohd Shafie berkata, kepimpinan Warisan juga menilai secara teliti sebelum menerima mana-mana pemimpin yang ingin menyertai Warisan.

”Kita perlukan disiplin kerana kita sedar rakyat menolak Umno bukan semata-mata kerana parti, rakyat tolak Umno kerana nilai pimpinan yang ada.

”Masyarakat diperingkat akar umbi menolak Umno kerana mahukan perubahan dalam sistem kehakiman, kepolisian dan rasuah yang ada.

”Itulah langkah yang perlu dilakukan dan diterjemahkan mengikut hasrat serta kehendak rakyat.

”Maka yakinlah dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang, kita akan dihukum kalau kita tidak memenuhi apa yang rakyat kehendaki,” ujarnya.

Sejak PRU14 lalu, terdapat sembilan bekas Adun BN menyertai Warisan iaitu Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik); Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu); Jamawi Jaafar (Kemabong); Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau); Datuk Bolkiah Ismail (Pitas); Datuk Musbah Jamli (Tempasuk); Datuk Masiung Banah (Kuamut); Datuk Osman Jamal (Balung) dan Datuk Anita Baranting (Tandek).

Loading...
Share This