Selasa, 26 Mac 2019

Tiada rancangan kerjasama PBS-PH


KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi jaminan bahawa parti itu kekal dengan kedudukannya sekarang.

"Tidak ada rancangan segera, ataupun kami menghantar sebarang permohonan untuk bekerjasama dengan kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan latihan kepimpinan Akademi Kepimpinan Bersatu untuk ahli PBS Zon Utara, di sini pada Isnin.

Maximus berkata, sehingga kini, PBS juga tidak ada rancangan untuk menyertai kerajaan pimpinan Parti Warisan, tetapi merancang untuk meneroka kemungkinan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya langkah strategik seperti kerjasama dengan Pakatan Harapan hanya boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi parti dan selepas mengkaji semua pilihan serta justifikasi.

"Soalan mengenai bergabung dengan PH hanya boleh dijawab jika kepimpinan parti yakin bahawa ada manfaat ketara kepada rakyat Sabah.

"Kami hanya akan mempertimbangkan untuk menjadi rakan dengan PH jika Kerajaan Persekutuan dapat menjamin penyelesaian kepada isu lama mengenai kehadiran besar pendatang tanpa izin di Sabah, serta memulihkan hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Justeru, sehingga keputusan dibuat, kita akan kekal di mana kita berada... memperkukuhkan akar umbi kita dan bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Namun demikian, Maximus berkata pada kebanyakan majlis, mereka telah mengumumkan secara terbuka bahawa PBS adalah mesra PH.

"Ini bermakna kita akan menyokong sebarang dasar dan program yang baik untuk rakyat terutamanya Sabah dan Sarawak, tetapi kita akan membantah dan menentang semua dasar serta program yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya perkara yang mempengaruhi hak dan keistimewaan kita," katanya.

Maximus mengingatkan rakyat bahawa PBS berada di kem pembangkang bukan dengan pilihan tetapi melalui tindakan pengkhianatan Upko.

Beliau berkata di Dewan Rakyat, ahli Parlimen PBS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sarawak adalah 'bebas'.

Sementara itu, pada majlis itu, Maximus menyampaikan kad keahlian parti kepada 800 ahli baharu dan kemudian menerima 783 permohonan keanggotaan baharu daripada lima bahagian di utara iaitu Tanjung Kapor, Matunggong, Tandek, Tempasuk dan Kadamaian.

Loading...
Share This