Isnin, 18 Mac 2019

SM All Saints Likas tidak lagi asing kelas pelajar ikut agama

Yusof Yacob ketika sidang media selepas perjumpaan dengan pengetua sekolah SM All Saint Likas hari ini

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah mengarahkan Sekolah Menengah (SM) All Saints Likas di sini tidak meneruskan pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan 1 di sekolah itu.

Arahan itu dibuat selepas menterinya Yusof Yacob dan Timbalan Menteri Pendidikan Sabah Mohd Kassim Mohd Ibrahim melawat sekolah itu hari ini dan mengadakan perjumpaan dengan pengetua sekolah itu Mary Gambidau.

Pada sidang media selepas perjumpaan itu, Yusof berkata, tindakan pihak pengurusan sekolah melakukan pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan 1 itu perlu dihentikan dengan serta-merta dan kembali kepada kaedah sebelum ini.

Justeru beliau berkata, isu tersebut sudah selesai dengan pengetua sekolah mengakui kesilapannya membuat dan melaksanakan keputusan itu dengan terlepas pandang isu lain.

“Isu ini tidak besar dan terpencil, kita telah selesaikan dengan mengambil kira faktor kita di Sabah kena memahami kekuatan perpaduan kita, iaitu keharmonian hidup tanpa dipisahkan oleh perbezaan kaum dan agama.

Pada awal bulan ini, satu petisyen dibuat oleh gabungan ibu bapa pelajar Tingkatan 1 sekolah tersebut dan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam petisyen tersebut, ibu bapa pelajar mendakwa bermula Januari lepas, pengetua sekolah telah mengasingkan kelas Tingkatan 1 mengikut agama, iaitu 4 kelas untuk pelajar bukan Islam dan 2 kelas untuk pelajar Islam yang akan berterusan hingga Tingkatan 3.

Kaedah lama yang diguna pakai terhadap pelajar Tingkatan 2 hingga 5, ialah terdapat 6 kelas bercampur agama yang mana ketika masa Pendidikan Moral atau Agama Islam, pelajar akan memasuki kelas mengikut subjek yang diambil.

Yusof berkata, kementeriannya akan memastikan perkara itu tidak berlaku di mana-mana sekolah di negeri ini yang selaras dengan dasar bahawa tidak ada garis pemisah kaum dan agama.

Ditanya jika ada tindakan diambil terhadap pengetua SM All Saints itu, beliau berkata, tiada tindakan diambil terhadap beliau kerana isu itu diselesaikan dalam suasana harmoni.

Beliau meminta ibu bapa pelajar Tingkatan 1 sekolah itu tidak risau disebabkan kementeriannya dan Kementerian Pendidikan mengambil berat perkara ini dan mencari jalan penyelesaian. - Bernama
 

Loading...
Share This