Selasa, 26 Mac 2019

Shafie KM Sabah pertama lawat Kanyon


KOTA KINABALU: Lawatan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ke Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) esok akan mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama menjejakkan kaki di kawasan konservasi ini.
ICCA merupakan salah satu daripada lima kawasan konservasi Kumpulan Yayasan Sabah selain daripada Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.
Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Jamalul Kiram bin Datuk Haji Mohd. Zakaria, lawatan Ketua Menteri ini akan memberi impak yang besar kepada ICCA.

Jamalul menjelaskan lawatan Ketua Menteri itu akan memberi sokongan kepada  ICCA dalam mencapai status kawasan konservasi utama dan seterusnya dapat menarik perhatian penyedia dana dan projek penyelidikan. 

“Lawatan Shafie ini juga akan meningkatkan usaha untuk membangunkan kawasan ini secara saintifik. Ia akan menyerlahkan kepentingan ICCA sebagai pusat pembelajaran asas masyarakat setempat dalam pemuliharaan biodiversiti di samping sebagai pemuliharaan bank gen serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi,” katanya.

Menyentuh tentang potensi penyelidikan ICCA, Datuk Haji Jamalul berkata, Kumpulan Yayasan Sabah menjangkakan potensi penerokaan farmaseutikal dan bioteknologi di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC).
“Kami ingin memaklumkan bahawa penyelidikan mengenai sifat antimikrob dan antioksidan tumbuhan ubatan yang terdapat di ICCA telah dijalankan oleh para penyelidik dari Universiti Monash Malaysia pada 2017,” katanya.
Selain mempromosikan ICCA sebagai destinasi ekopelancongan, Jamalul menegaskan bahawa perasmian ICSC juga akan memberi liputan yang lebih luas di dalam mahupun di luar Malaysia. 
“Oleh itu, majlis perasmian ini merupakan saluran yang sangat baik untuk mempromosikan usaha Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas terutamanya berkaitan dengan perlindungan hutan hujan tropika dan biodiversitinya.

“Kumpulan Yayasan Sabah komited dalam mewujudkan ICSC sebagai tarikan ekopelancongan di daerah Tongod. Kami menawarkan kemudahan yang terdiri daripada pelbagai jenis penginapan (asrama, rumah rehat, lodge dan chalet) di samping denai hutan, pendidikan alam sekitar serta galeri alam semula jadi yang tersedia untuk tujuan ini. 

“Dengan adanya infrastruktur dan kemudahan tersebut, ICCA kini dapat menampung sehingga 202 pengunjung dan 118 penyelidik/pembantu penyelidik dalam satu-satu masa tertentu. Jaraknya yang dekat dengan Tongod, Telupid, dan Pinangah membolehkan ianya berfungsi sebagai pintu masuk ke Ulu Kinabatangan,” tambahnya.

Shafie akan merasmikan ICSC pada 26 Mac. Pusat ini yang dibina hasil dari kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas terletak di kawasan seluas 27 hektar di pinggir ICCA dan menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi alam semula jadi. 
Pusat ini merupakan komponen utama Pelan Pengurusan Strategik ICCA (2014-2023) dalam memastikan pengurusan mapan ICCA. Pelan pengurusan tersebut menyediakan rangka kerja bagi aktiviti yang akan dilaksanakan di ICCA dalam jangka masa sepuluh tahun, yang mana akan menangani isu berkaitan dengan konservasi di kawasan tersebut.
“Selain daripada kunjungan Shafie ke ICCA, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Kumpulan Yayasan Sabah untuk terus mengurus kawasan-kawasan konservasi Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas untuk generasi akan datang,” kata Jamalul.
Memperoleh status sebagai sebuah bank gen, ICCA yang terletak di Ulu Kinabatangan di tengah-tengah negeri Sabah, memainkan peranan penting sebagai sumber benih untuk pemulihan  dan hutan simpan di masa hadapan. Kanyon dengan keluasan 27,599 hektar ini merangkumi pelbagai habitat hutan hujan di kawasan lembah sepanjang 25 kilometer dikelilingi oleh rabung batu pasir di ketiga-tiga sisinya. Kebanyakan puncak rabung tersebut melebihi 1,000 meter dengan puncak tertinggi Gunung Kuli, mencapai 1,527 meter.

Sebagai sebahagian daripada kawasan perlindungan di Kawasan Konsesi Yayasan Sabah, ICCA yang kaya dengan biodiversiti tumbuhan mempunyai lebih daripada 600 spesies yang direkodkan setakat ini. Jumlah ini dijangka akan meningkat dengan penerokaan dan penyelidikan yang akan terus dilaksanakan. ICCA telah mencatatkan 82 spesies mamalia seperti harimau dahan, kucing dahan, monyet belanda, orang utan, Bornean gibbon, tembadau, beruang matahari dan gajah pigmi Borneo. Sejumlah 242 spesies burung telah direkodkan. Spesies burung ini terdiri dari gabungan spesies tanah pamah dan gunung termasuk enam spesies pitta, kesemua lapan spesies burung enggang Borneo dan 20 spesies burung sambar. 

Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA)
Sebagai hutan semula jadi yang asli, ICCA juga memainkan peranan penting sebagai koridor hidupan liar, khususnya mamalia serta landskap yang penting menghubungkan kawasan konservasi Lembah Danum dan Lembangan Maliau selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air untuk sistem sungai terpanjang di Sabah iaitu Sungai Kinabatangan.

Pada 2003, Kumpulan Yayasan Sabah secara sukarela menetapkan ICCA sebagai kawasan konservasi. ICCA kemudiannya, diwartakan dan dinaik taraf sebagai Rizab Hutan Kelas 1 (Perlindungan) pada 2009 bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi. 

Loading...
Share This