Selasa, 26 Mac 2019

Seks bertukar tragedi

EDERA: Mangsa berlumuran darah bersama suami suspek ketika menunggu ketibaan polis dan ambulans semalam.
SIBU: Seorang pelayan kedai kopi ditahan selepas menikam kemaluan 'rakan threesome' (rakan seks tiga dalam satu) dengan pisau selepas suaminya mengadakan hubungan seks dengan mangsa di sebuah bilik sewa di Jalan Lajong di sini malam kelmarin.

Si isteri (suspek),46, yang naik minyak itu kemudian melarikan diri namun berjaya dikejar suaminya dan dibawa pulang sebelum polis tiba dan melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata mangsa, 34, mengalami pendarahan teruk dipercayai ditikam dengan pisau pemotong sayur di bahagian alat sulitnya oleh suspek dalam bilik tidur dalam kejadian jam 9 malam itu.

"Punca kejadian kerana suspek berasa panas hati dari mula ketika si suami membawa mangsa datang ke bilik sewa mereka. Motif dipercayai dendam dan cemburu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, suspek sudah lama mengetahui suaminya itu menjalin hubungan dengan mangsa.

Katanya, polis dimaklumkan orang awam bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa menahan kesakitan dan terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah.

Insiden berlaku apabila si isteri mendapati suaminya, 28, seorang kelindan lori mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita (mangsa) yang bekerja sebagai tukang cuci di Pasar Sentral Sibu.

"Sebelum insiden itu, suspek dipercayai berpura-pura memberitahu suaminya bahawa beliau boleh membawa wanita simpanannya pulang ke rumah untuk berbincang secara baik mengenai hubungan mereka bertiga," katanya.

Menurutnya, perangkap si isteri menjadi apabila 'orang ketiga' dinantikan muncul di rumah dan ketika mereka berbual-bual si suami minum bir dan arak.

"Mereka bertiga kemudian bersetuju melakukan 'threesome' (hubungan seks bersama) dalam bilik sewa yang hanya diterangi cahaya dari televisyen," katanya.

Suspek kemudiannya keluar dan memberitahu suaminya bahawa dia mahu membuang air kecil.

Jelasnya, si suami kemudian turut melakukan seks dengan mangsa tetapi dia berhenti kerana tidak sedap hati dan berbaring atas tilam di sebelah mangsa sambil muka menghadap ke arah dinding dan mahu tidur.

"Tiba-tiba, mangsa mengerang sakit dan memberitahu suami suspek bahawa dia ditikam. Pada masa sama, suspek terus keluar dari bilik dan melarikan diri," jelasnya.

Katanya, si suami segera keluar dan meminta bantuan abangnya yang berada di dapur untuk mengejar suspek.

Suspek berjaya ditahan tidak jauh dari rumah dan dibawa pulang sehingga polis dihubungi dan tiba sekitar jam 9.30 malam.

Menurut Stanley, polis merampas sebilah pisau ditemui di tempat kejadian.

Suspek kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu bersama si suami untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati suspek hanya berkahwin secara adat Iban dan tiada dokumen sah.

"Mereka tinggal bersama selama tujuh tahun dan tidak mempunyai anak manakala mangsa mempunyai suami bekerja di kem pembalakan di Kepulauan Solomon dan mempunyai empat orang anak, semuanya tinggal di kampung," jelasnya.

Difahamkan, mangsa kini menerima rawatan dengan keadaannya dilaporkan stabil dan akan menjalani pembedahan.

Stanley berkata, suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan pisau sebagai senjata menyerang mangsa. - UTUSAN BORNEO

Loading...
Share This