Selasa, 19 Mac 2019

Sekolah asing pelajar ikut agama diberi kata dua


KEMENTERIAN Pendidikan mengarahkan pengurusan sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu supaya membuat pembetulan segera dengan merombak semula pengagihan pelajar di kelas berkaitan.
Ia susulan siasatan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mendapati aduan bahawa berlaku pengasingan kelas Tingkatan Satu berdasarkan agama di sekolah terbabit adalah berasas.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin menerusi kenyataan hari ini berkata, tindakan sudah diambil dengan memberi amaran dan peringatan kepada pengetua sekolah berkenaan.
“Penyusunan semula jadual waktu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga dilaksanakan serentak bagi semua kelas Tingkatan Satu.
“Semua pengetua dan guru besar diingatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dalam melaksanakan pengurusan dan pentadbiran di sekolah.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan membuat pemantauan berterusan ke atas semua sekolah bagi memastikan kejadian ini tidak berulang,” katanya.
Pagi hari ini, Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah menganggap isu pengasingan pelajar mengikut agama di Sekolah Menengah (SM) All Saints, Likas di Kota Kinabalu, selesai selepas pihak sekolah bersetuju menyusun semula semua pelajar yang terbabit dalam pengasingan itu.
Difahamkan, sebelum ini pelajar Tingkatan Satu sekolah itu diasingkan mengikut agama iaitu beragama Islam dan bukan Islam, didakwa bagi menangani isu kekurangan bilik darjah dan tenaga pelajar dalam subjek Pendidikan Islam serta Pendidikan Moral.
Pengasingan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk ibu bapa sehingga ada pihak melancarkan petisyen secara dalam talian yang sehingga kini mendapat perhatian lebih 15,000 orang yang menurunkan tandatangan.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, dilaporkan berkata, pihak sekolah sudah memberi penjelasan dan bersetuju untuk mengembalikan proses pembelajaran seperti biasa.a

Loading...
Share This