Selasa, 26 Mac 2019

Rompak berkumpulan: Dua warga asing dipenjara 20 tahun


KOTA KINABALU: Dua warga asing masing-masing dipenjara 20 tahun dan dikenakan dua sebatan rotan kerana melakukan rompakan berkumpulan secara bersenjata.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu pada Jainudin Ahad, 44, dan Edmar Matin, 36, selepas mereka mengaku bersalah kepada tuduhan terhadap mereka pada Isnin.

Jainudin dan Edmar telah merompak seorang wanita berumur 47 tahun dan melarikan sebentuk gelang emas dan seutas kalung emas, 10 kotak rokok dan RM600, dengan menggunakan sebilah pisau.

Mereka melakukan kesalahan itu pada pukul 3.15 petang 18 Februari di Kedai Runcit Sri Kinarut, Papar. 

Kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, kedua-dua Jainudin dan Edmar yang tidak diwakili meminta hukuman ringan, mengatakan mereka mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab tertuduh telah menggunakan senjata berbahaya dalam melakukan kesalahan itu.

Mohammed juga berkata Jainudin dan Edmar telah menyebabkan lebam pada tangan mangsa kerana mereka meragut gelang itu daripadanya.

Mahkamah mendengar bahawa insiden berlaku semasa mangsa berada di kedai itu apabila seorang lelaki bertopi keledar yang tidak dikenali memasuki kedai itu dan membeli sebotol air mineral dan sekotak rokok. 

Apabila lelaki itu membuat bayaran untuk barang-barang itu, dia tiba-tiba mengacu sebilah pisau ke arah wanita itu dan seorang lagi lelaki datang pada waktu itu.

Kedua-dua lelaki yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Jainudin dan Edmar, meragut barang kemasnya, rokok dan tunai sebelum melarikan diri.

Mereka berdua ditangkap selepas laporan polis dibuat oleh mangsa.

Dia mengenal pasti kedua-dua Jainudin dan Edmar sebagai individu yang merompaknya, semasa kawad cam. Barang kemas itu juga ditemui semula oleh polis. 

Sementara itu, dua tertuduh juga masing-masing dipenjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan kerana memasuki negeri ini secara haram.

Mahkamah memerintah mereka menjalani hukuman penjara secara berturut-turut dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman itu.

Loading...
Share This