Ahad, 17 Mac 2019

Polis berkas tiga warga asing


KOTA KINABALU: Tiga warga asing termasuk seorang wanita diberkas selepas dipercayai mencederakan seorang lelaki menggunakan senjata parang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sekitar 20 minit selepas kejadian menyerang mangsa, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat.

Katanya, kesemua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan berumur dalam lingkungan 28 hingga 33 tahun.

"Kejadian ini berlaku di kawasan Sinsuran di sini melibatkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang dicederakan oleh suspek menggunakan parang.

"Mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan kiri dan belakang leher kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Laporan polis dibuat oleh isteri mangsa dan ketiga-tiga suspek juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan isteri mangsa," katanya mengesahkan kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas daripada suspek termasuklah sebuah kereta, sebatang kayu sepanjang 68 sentimeter, sebilah senjata yang diubah suai seperti kerambit, sebilah parang, sebuah kendadu dan sebuah beg.

Habibi berkata, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata tajam.

Selain itu jelasnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Loading...
Share This