Khamis, 21 Mac 2019

Permohonan Sertai Aktiviti Barter Trade Dibuka Semula 1 APRIL ini

Pembantu Menteri Kewangan Sarifudin Hata
KOTA KINABALU: Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri memulakan semula akiviti perniagaan tukaran barang (barter trade) dengan negara jiran, Kementerian Kewangan membuka permohonan kepada semua peniaga yang berminat untuk menyertai aktiviti itu.

Pembantu Menteri Kewangan Sarifudin Hata berkata, kuota ketiga-tiga kawasan yang menjalankan aktiviti barter trade ini iaitu Sandakan (35); Tawau (35) dan Kudat (25) masih belum penuh ketika permohonan dibuka pada 1 Januari lalu.

Maka, kementerian akan membuka semula permohonan itu bermula 1 April ini.

“Pemohon yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan secara percuma dengan memuat turun (download) borang di laman sesawang Kementerian Kewangan di http://www.mof.sabah.gov.my/.

”Bayaran yuran pemprosesan sebanyak RM1,500 akan dikenakan kepada pemohon yang mengemukakan borang yang lengkap ke Kementerian Kewangan.

”Semua pemohon perlu melengkapkan borang termasuk mendapat pengesahan mengenai kedudukan kuota dan status kapal pengangkut daripada Jabatan Laut Malaysia (Sabah). Sekiranya prosedur yang itu tidak dipatuhi maka, bayaran secara online adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Sarifudin berkata, aktiviti barter trade itu akan bermula sedikit lewat berikutan berlaku kekeliruan mengenai prosedur baharu mengenai permohonan pengeluaran surat kebenaran dan proses tapisan keselamatan yang melibatkan beberapa agensi negeri dan persekutuan.

Beliau berkata, walaupun aktiviti barter trade itu penting bagi kawasan terlibat namun, isu keselamatan negeri dan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan.

”Atas sebab itulah, hasrat memulakan semula aktiviti itu dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri.

”Maka, proses pengeluaran surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti perniagaan ini dilakukan dengan berhati-hati,” jelasnya.

Menurutnya, sebaik sahaja proses semakan dilakukan, yuran pemprosesan tidak akan dikembalikan semula walaupun pemohon gagal memperolehi surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Untuk permohonan yang berjaya mendapat kelulusan, tempoh kebenaran menjalankan barter trade itu adalah selama setahun dari tarikh surat kebenaran dikeluarkan.

Untuk keterangan lanjut, pemohon boleh melayari laman web Kementerian Kewangan di http://www.mof.sabah.gov.my/ atau terus berhubung dengan urusetia Bahagian Kewangan dan Ekonomi Kementerian Kewangan melalui talian 088 368033/368067/368152/368037.

Aktiviti barter trade dihentikan sejak 2016 oleh kerajaan terdahulu atas faktor keselamatan berikutan banyak kes penculikan dan jenayah rentas sempadan yang berlaku, khususnya di perairan Selatan Filipina.

Namun, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan untuk memulakan semula aktiviti barter trade itu pada 1 Januari 2019 dengan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu. Akan tetapi aktiviti barter trade itu ditunda pada Mac.

Penambahbaikan SOP itu akan membolehkan barter trade yang akan dilaksana dengan Filipina dan Indonesia itu berjalan lancar.

Menurutnya, langkah memulakan kembali aktiviti barter trade itu mampu membendung masalah penyeludupan barangan dengan adanya sistem kawalan ketat daripada agensi keselamatan.

Loading...
Share This