Isnin, 18 Mac 2019

Pengedar dadah serang polis ditembak mati


LAHAD DATU: Seorang suspek disyaki pengedar dadah yang nekad menyerang polis menggunakan parang untuk melarikan diri ditembak mati di Kampung Bakau, pada Jumaat.

Insiden berlaku ketika suspek, 30an, bertindak melibaskan sebilah parang ke arah seorang anggota polis yang cuba mendekati suspek untuk menangkapnya.

Menyedari nyawa anggota terancam, seorang pegawai polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek lalu rebah di satu kawasan di tepi jalan keluar kampung itu kira-kira jam 4.30 petang.

Sebelum kejadian, Ops Lejang/Ops Sarang dijalankan sepasukan polis diketuai Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berdasarkan maklumat awam bagi menggempur kawasan tumpuan jenayah di kampung itu.

Suspek yang menaiki motosikal berwarna merah yang ditemui dalam keadaan mencurigakan telah diarahkan berhenti di tepi jalan ketika keluar dari kampung namun bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota polis untuk melarikan diri sehingga terbabas.

Suspek kemudiannya bergegas berlari dan di satu kawasan mula menyerang anggota polis yang mengejarnya.



Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata pemeriksaan lanjut pada tubuh suspek di tempat kejadian menemukan sebuah beg silang merah hitam yang berisi beg plastik hitam di dalamnya ada plastik biru yang mengandungi 19 bungkusan hablur jernih disyaki syabu methamapetamine anggaran berat 1,052 gram dan sebilah parang yang tidak bersarung berukuran 20 inci termasuk hulu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut pada motosikal yang digunakan suspek mendapati ianya dicuri berdasarkan satu laporan kehilangan kenderaan itu pada hari yang sama.

"Setakat ini suspek belum dikenalpasti identitinya kerana semasa pemeriksaan tiada pengenalan diri ditemui.

"Ahlis keluarga suspek diminta tampil berjumpa pegawai penyiasat kes untuk pengecaman seterusnya membantu melengkapkan siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Share This