Isnin, 18 Mac 2019

Pendatang asing heret dan cabul gadis dalam semak

Sekadar Gambar Hiasan
LIMBANG: Seorang gadis diheret ke dalam semak sebelum dipeluk dan dicium seorang lelaki warga Indonesia di kawasan pasar berhampiran sempadan Tedungan, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa, 20, dalam perjalanan pulang ke rumah berjalan kaki seorang diri selepas mencari ibunya di kawasan sekitar Tedungan pada pukul 2.30 pagi.

Katanya, suspek, 23, bertindak menarik mangsa ke kawasan semak serta memeluk badan dan menutup mulut mangsa agar tidak menjerit.

"Suspek dipercayai mencium mulut mangsa menyebabkan mangsa bertindak mengigit bibir suspek," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian melepaskan mangsa dan bergegas melarikan diri selepas gadis berkenaan menjerit meminta pertolongan.

Katanya, mangsa dapat melihat muka suspek dengan bantuan cahaya dari lampu jalan berhampiran dan mengenali suspek yang merupakan pekerja gerai makanan.

Mohd Bukhori berkata, selepas menerima laporan dari mangsa, polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Tedungan sekitar pukul 4 pagi.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku mengheret mangsa ke dalam semak dan menciumnya.

"Suspek akan direman selama empat hari bermula Ahad untuk siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cabul kehormatan)," katanya lagi.

Loading...
Share This