Jumaat, 29 Mac 2019

Pemuda Umno selar kenyataan Harris 'usah ganggu harimau tidur'

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain
KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah pada Rabu menyelar bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh berhubung kenyataannya baru-baru ini yang memberi amaran kepada rakyat Sabah supaya tidak mengganggu “harimau sedang tidur” iaitu pemimpin-pemimpin di semenanjung.
Ketua Pemudanya, Ir. Abdul Aziz Julkarnain, menggambarkan kenyataan Harris sebagai amat memeranjatkan, menyatakan seorang bekas pemimpin negeri tidak patut mengucapkan kata-kata seperti itu.
“Apakah dengan menuntut hak-hak Sabah sebagaimana termaktub di dalam MA63 menjadikan kita kurang patriotik? Tidak sama sekali! 
“Sebaliknya, menghormati dan melaksanakan MA63 yang menjadi asas pembentukan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan itulah yang akan membuatkan kita lebih patriotik,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Selasa lepas, setiausaha biro MA63 Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua juga menyelar Harris yang beliau tuduh sebagai menakut-nakutkan rakyat Sabah dengan kenyataannya.
Harris, dalam satu kenyataan kepada satu akhbar tempatan pada Isnin, mendakwa bahawa pemimpin Sabah dan Sarawak berjuang membuta tuli untuk status rakan kongsi setara.
Harris berkata, semasa semua percakapan mengenai perkongsian setara itu menumpu pada Sabah dan Sarawak, pemimpin-pemimpin di semenanjung terus senyap.
Beliau juga menggambarkan Malaya sebagai “harimau sedang tidur” yang pemimpin negeri ini tidak harus ganggu, menambah bahawa permintaan negeri-negeri Borneo mungkin menyebabkan kerajaan persekutuan menuntut Sabah membayar bahagian yang sama untuk pertahanan.
Aziz berkata fakta-fakta yang dibangkitkan oleh Harris dalam kenyataannya menimbulkan kontroversi, khususnya mengenai Sabah dan Sarawak dilayan dan ditadbir sebagai salah satu daripada 13 negeri sahaja sejak penubuhan Malaysia.
Beliau meminta Harris memeriksa faktanya, menyebut satu petikan daripada perbahasan parlimen oleh perdana menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, pada 28 April 1962 sebagai rujukan.
Aziz memetik Tunku, yang berkata: “Apabila Negeri-Negeri Borneo menjadi sebahagian daripada Malaysia, mereka akan berhenti menjadi jajahan Britain, dan mereka tidak akan menjadi jajahan Malaya – saya fikir saya sudah jelaskan – mereka akan menjadi rakan kongsi setara.” 

Aziz berkata, atas pemahaman itulah Malaysia dibentuk.
“Kenyataan beliau (Harris), yang mendakwa bahawa tidak ada status setara antara Sabah, Sarawak dan Malaya, dan sebaliknya mencadangkan bahawa semua negeri (termasuk Sabah dan Sarawak) sebenarnya setara adalah usaha untuk menafikan status setara Sabah dan Sarawak di negara ini.”
Aziz juga mempersoalkan kenapa Harris tidak bersuara untuk membantah pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, melalui Akta A354 pada 27 Ogos 1976, yang menurunkan taraf Sabah dan Sarawak sebagai salah satu negeri dalam Malaysia.
Harris merupakan bekas ahli politik Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan memimpin Sabah sebagai ketua menteri dari 1976 hingga 1985.
“Harris telah menafikan keterlibatan kerajaan Berjaya pada masa itu sebelum ini semasa memegang jawatan sebagai ketua menteri tetapi kenapa Harris tidak bersuara pada masa itu untuk mendesak agar dikembalikan kepada status asal? Beliau tidak bolehkah lakukan ini sebagai Ahli Parlimen Keningau pada 1977?
“Saya ingin bertanya kepada Harris sendiri, untuk rekod, adakah beliau bersetuju dengan pindaan tersebut atau menentangnya?
Beliau berkata pindaan itu akhirnya menidakkan kemajuan yang setara antara Wilayah Negeri-negeri Borneo dengan Malaya. 

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa Harris menjelaskan sebab kenapa beliau tergesa-gesa menandatangani Perjanjian Royalti Minyak pada 14 Jun 1976.
“Tahukah Harris bahawa Wilayah Negeri-negeri Borneo, yang menyumbangkan 40 peratus kepada hasil pendapatan negara daripada sektor minyak dan gas, adalah antara negeri termiskin di negara ini?
“Kenapa beliau perlu mempersoalkan usaha pemimpin-pemimpin pada hari ini dalam menuntut hak-hak yang diambil oleh kerajaan persekutuan dan kerajaannya pada waktu itu gagal lindungi?” Aziz bertanya.
Daripada membuat kenyataan seperti itu, Aziz meminta Harris menyokong pemimpin-pemimpin yang berjuang untuk hak-hak Sabah dan Sarawak.

Loading...
Share This