Khamis, 21 Mac 2019

Mengaku bomoh: Lelaki tempatan dihukum penjara 88 bulan, empat sebatan


SANDAKAN: Mengaku bomoh perubatan, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 88 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret Sandakan pada Selasa.

Majistret Suhaila Selag menjatuhkan hukuman itu kepada Isnin Usin, 32 atau dikenali sebagai Bomoh Acong selepas mengaku telah menipu dua orang mangsa di Kampung Bahagia Sandakan sekitar Disember tahun lalu.

Menurut fakta kes, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM25,000, bagi nilai harga beberapa jenis barang kemas milik mereka yang dibungkus menggunakan kain putih oleh bomoh palsu tersebut, dengan arahan mereka (mangsa) tidak boleh membukanya selama 7 kali Jumaat sepanjang tempoh berubat dijalankan.

Namun, setelah mangsa lelaki dan wanita tersebut membuka bungkusan kain putih itu pada tempoh yang ditetapkan, didapati kain berkenaan kosong dan tidak berisi barangan kemas milik mereka.

Mangsa kemudiannya membuat laporan kepada Ketua Kampung Bahagia pada 4 Februari 2019 berhubung penipuan Bomoh Acong sebelum mereka merujuk bersama kes itu kepada pihak polis.

Isnin menipu mangsa kononnya mampu membantu merawat sihir yang dialami kedua-dua mangsa.

Dalam pada itu, bagi setiap empat pertuduhan, Isnin dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan dibawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu , 20 bulan dan satu sebatan lagi kerana menggunakan harta orang lain secara tidak sah bagi mangsa lelaki yang ditipunya dan dua hukuman yang sama kerana menipu seorang lagi mangsa wanita di kampung itu.

Suhaila memerintahkan keempat-empat hukuman itu dijalankan berasingan dan pendakwaan kes dikendalikan oleh ASP Tan Hiap Wah.

Loading...
Share This