Sabtu, 9 Mac 2019

Mayat lelaki ditemukan bersama buaya 19 kaki di Kinabatangan


KINABATANGAN, 8 Mac — Mayat seorang lelaki ditemukan bersama seekor buaya sepanjang 5.79 meter (19 kaki) di Sungai Kinabatangan hari ini.

Lelaki itu dilaporkan hilang ketika ketika menjala udang di sungai itu semalam sebelum mayatnya ditemukan bersama buaya itu pada 3.30 petang ini.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR), yang terdiri daripada APM Kinabatangan, Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, dan Ibu Pejabat Polis Kinabatangan, terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menghalau reptilia itu bagi membolehkan pasukan SAR mengambil mayat lelaki itu.

“Mayat mangsa ditemukan tanpa kaki kiri dan tanpa tangan kanan dipercayai dibaham reptilia itu,” menurut  kenyataan itu lagi.

Jenazah Abdurahman Norsirat dibawa naik dari tebing Sungai Kinabatangan. - APM
Mangsa dikenalpasti sebagai Abdurahman Norsirat, 40 yang dilaporkan keluar menjala udang di sungai itu dekat Kampung Tanjung Bulat bersama abang saudaranya kira-kira 4 petang semalam.

Bagaimanapun, kira-kira 7.30 malam, abang saudara mangsa terkejut melihat mangsa dibaham seekor buaya besar di tebing sungai ketika sedang menarik jala dan seterusnya, membuat laporan polis.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

APM turut memaklumkan pasukan SAR berkenaan telah mengemukakan cadangan kepada Pejabat Daerah Kinabatangan untuk membangkitkan isu serangan buaya di daerah itu ke Masyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah akan datang. — Bernama



Loading...
Share This