Ahad, 17 Mac 2019

Masukkan MA63 dalam subjek Sejarah


SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mencadangkan agar peristiwa penuh pembentukan Malaysia melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah.

Beliau berkata, perkara itu perlu bagi memberikan pendedahan kepada pelajar khususnya di peringkat menengah bagaimana MA63 menjadi sebagai syarat utama dalam penubuhan negara Malaysia.

“Sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan Malaysia memasukkan MA63 kerana ia bukan saja memberikan gambaran yang jelas mengenai pembentukan negara Malaysia.

“Tetapi memberikan kefahaman umum berkenaan perjanjian ini yang sebenarnya wujud namun belum dapat dipatuhi sejak 55 tahun oleh kerajaan Persekutuan yang lalu," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menangguhkan Mesyuarat Tahunan PIBG SMK Paris ke-14 di sekolah itu, hari ini.

Saddi berkata, Kementerian Pendidikan yang kini di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai alasan yang kukuh untuk memasukkan MA63 sebagai salah satu subjek dalam mata pelajaran Sejarah kerana isu tuntutan ke atas perjanjian itu turut terkandung dalam Manifesto PH.

“Tuntutan terhadap kandungan MA63 ini juga menjadi salah satu tuntutan dalam Manifesto Parti Warisan Sabah, agar kesemua perkara yang dimeterai dalam perjanjian itu mengenai hak dan kepentingan negeri Sabah 55 tahun lalu dapat ditunaikan,” katanya.

Beliau menghuraikan antara perjanjian itu ialah mengembalikan keseluruhan 40 peratus cukai terkumpul yang dikutip oleh kerajaan Pusat setiap tahun sejak Sabah menyertai Malaysia bersama-sama Sarawak dan Singapura pada 1963. Bagaimanapun, Singapura kemudiannya menarik diri daripada kerajaan itu pada tahun 1965.

Beliau menjelaskan betapa pentingnya perjanjian itu dapat ditunaikan kerana ia bukan saja melaksanakan sistem pentadbiran kerajaan Pusat secara adil dan saksama, tetapi membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak menikmati pembangunan yang jauh lebih baik, berbanding ketika ini hanya dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Dengan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai antara negeri ke 13 dan ke 14, kedua-dua negeri ini bukan saja terbukti tertinggal daripada arus pemodenan pembangunan serta lonjakan program sosioekonomi rakyat, tetapi kedudukannya sebagai ‘equal partner’ (rakan kongsi) dalam pembentukan Malaysia, dinafikan.

Ia menjadi salah satu alasan penting kepada Saddi yang memilih untuk menyertai Parti Warisan Sabah, selepas kerajaan BN tumbang dalam PRU14.

Katanya, pemilihan isu MA63 itu sebagai salah satu agenda perjuangan besar Warisan oleh Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal selaku presidennya, membuktikan kematangan perjalanan politiknya yang mampu diterima oleh rakyat hingga membawa kemenangan kepada parti itu dalam PRU lepas.

“Ketelusan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pendidikan memasukkan subjek mengenai MA63 memberikan kesedaran kepada umum bukan saja rakyat kedua-dua negeri, tetapi masyarakat di Semenanjung Malaysia mengenai hak dan kepentingan negeri ini yang perlu sama-sama mereka lindungi," katanya.

Saddi, dalam pada itu, mahukan sekolah-sekolah menengah di seluruh Kinabatangan meningkatkan azam dan daya gigih dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan serta sukan sebagaimana yang dicatatkan oleh SMK Paris.

Katanya, SMK Paris bukan saja diletakkan sebagai sebuah sekolah paling cemerlang di bawah program Propeks (di bawah Program Pembangunan Khas Sekolah Pemulihan) di seluruh Sabah, tetapi juga tempat kedua di bawah program itu di Malaysia dengan pencapaian 5.54 peratus.

“Maknanya, misi penempatan guru-guru cemerlang ke sekolah ini sejak empat tahun lalu termasuk beberapa pengetuannya termasuk Dr Dalmansa Tahil membuahkan hasil.

“Tidak kurang kehebatan Jawatankuasa PIBG yang dipimpin oleh Ardain Suradi yang menjadi pemimpin PIBG sekolah ini sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan Madinin Jemin dan Pengetua SMK Paris Dr Dalamsah Tahil.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru sekolah itu atas pencapaian mereka, Saddi berkata beliau akan meneruskan dasar program meraikan kecmerlangan pelajar dan sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan pembangunan di seluruh Kinabatangan.

Selain memberikan bantuan RM300 kepada setiap pelajar cemerlang sebagaimana dilakukan sejak beliau menjadi wakil rakyat DUN Sukau, sumbangan bantuan pembangunan sekolah juga diteruskan.

Beliau buat kali ke empat di sini mengumumkan SMK Paris menerima sumbangan RM50 ribu bagi tujuan penambahan bumbung dewan terbuka sekolah itu.

Loading...
Share This