Malaysia tidak akan berbincang sebarang tuntutan ke atas Sabah - Tun M
MANILA: Tiada sebarang tuntutan ke atas Sabah oleh kerajaan Filipina dan Malaysia tidak akan berbincang tentang perkara itu. Demik...

http://www.buletinsabah.com/2019/03/malaysia-tidak-akan-berbincang-sebarang.html
MANILA: Tiada sebarang tuntutan ke atas Sabah oleh kerajaan Filipina dan Malaysia tidak akan berbincang tentang perkara itu.
Demikian ditegaskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditemubual tentang tuntutan berkenaan oleh wartawan ANC, di negara itu hari ini (Khamis, Mac 7, 2019).
“Setakat yang kami tahu, tiada sebarang tuntutan. Kami tidak akan berbincang perkara itu,” kata Perdana Menteri.
Tegas beliau, tiada sebarang perbincangan mengenainya akan dibuat dalam pertemuan beliau dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang dijadualkan petang ini.
Mahathir tiba di Filipina semalam sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke negara jiran itu.
Tuntutan Filipina ke atas Sabah telah bermula sejak lama dahulu berdasarkan kepada perjanjian pajakan yang dimeterai pada 1878 antara Syarikat Berpiagam Borneo Utara yang mentadbir Borneo ketika itu dengan Kesultanan Sulu.
Hanya ada beberapa perbincangan yang pernah dijalankan berhubung perkara itu antara kedua-dua kerajaan, namun Malaysia kekal pentadbir sah Sabah.
Sebelum ini, pada November 2016, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju tidak meneruskan pertikaian tersebut.
Pertikaian berkenaan memuncak pada 2013 apabila kumpulan militan yang mendakwa askar Kesultanan Sulu telah menceroboh pantai timur Sabah dan mengemukakan tuntutan.
Pencerobohan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan pihak berkuasa Malaysia dan sembilan warga Filipina telah ditahan dan dijatuhkan hukuman mati.