Sabtu, 23 Mac 2019

Lelaki cedera kereta bertembung lori

KEADAAN dua kenderaan selepas bertembung di Kampung Kivatu Jalan Penampang-Tambunan di sini awal pagi tadi.
PENAMPANG: Seorang lelaki cedera selepas keretanya bertembung sebuah lori di Kampung Kivatu Jalan Penampang-Tambunan di sini awal pagi tadi.

Ketua Operasi Pegawai Bomba (PB) Halim Majid berkata lapan anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.12 pagi.

"Kejadian membabitkan pertembungan dua kenderaan masing-masing jenis sedan dan lori menyebabkan seorang lelaki tersepit di dalam kereta jenis sedan.

"Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas kebombaan," katanya.
Menurutnya mangsa berumur 30 tahun berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

"Tiada kecederaan lain yang dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan jam 12.32 pagi," katanya.

Loading...
Share This