Ahad, 17 Mac 2019

Lantikan pegawai kementerian sebagai timbalan naib canselor UMS cetus kritikan

UMS telah menyenarai pendek profesor yang berkelayakan untuk jawatan timbalan naib canselor yang dikosongkan selepas tempoh timbalan naib canselor sebelum ini dipendekkan. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU: Spekulasi mengatakan seorang pegawai kanan kementerian dijangka memegang jawatan timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), sekali lagi mengundang kritikan berhubung janji Pakatan Harapan bahawa tiada sebarang lantikan politik di universiti awam.

Sumber memberitahu FMT, pegawai kanan di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu dilantik ke jawatan tersebut untuk tempoh 3 tahun bermula 1 April ini.

Sumber itu juga mendakwa pegawai kanan berkenaan tidak menjalani proses temuduga.

Pelantikan itu dikritik ahli akademik UMS, mengatakan pegawai kanan itu bukan profesor penuh, yang merupakan keperluan biasa bagi jawatan tersebut.

“Dia tidak mempunyai pengalaman yang relevan di peringkat universiti, tidak pernah memegang jawatan penting dan tiada rekod pencapaian akademik.

“Ini tidak adil bagi pemohon lain yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk jawatan itu,” kata seorang pensyarah kepada FMT.

Difahamkan UMS telah menyenarai pendek profesor yang berkelayakan untuk jawatan tersebut, yang dikosongkan selepas tempoh timbalan naib canselor sebelum ini dipendekkan.

Salinan surat pelantikan dari Kementerian Pendidikan juga dikongsi di media sosial yang turut disahkan oleh kementerian tersebut.

Tahun lalu, aktivis pelajar membantah pelantikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengatakan ia bertentangan dengan manifesto PH yang membenarkan autonomi ke atas universiti, serta menghentikan ahli politik daripada terlibat dalam urusan pentadbiran universiti.

Maszlee meletakkan jawatan itu tidak lama kemudian.

Loading...
Share This