Rabu, 13 Mac 2019

Ketua Hakim Negara mohon padam sebahagian afidavit


KUALA LUMPUR 13 Mac - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memfailkan permohonan untuk memadamkan sebahagian besar afidavit sokongan yang diikrarkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer bagi menyokong saman pemula yang difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Ketua Hakim Negara yang dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula tersebut kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Suzana berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan itu pada 7 Mac lalu atas alasan afidavit yang diikrarkan pada 14 Februari lalu adalah melampau, menghina, tidak berkaitan dan hanya dengar cakap.

Sangeet memfailkan saman itu bagi memohon deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan institusi itu apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan guru tadika M. Indira Ghandi.

Sangeet selaku pemohon dalam saman pemulanya mendakwa terdapat campur tangan melibatkan keputusan rayuan dalam kes Akta hasutan mendiang bapanya di Mahkamah Rayuan seperti yang didakwan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang dilaporkan secara meluas oleh sebuah portal pada 22 Ogos tahun lalu.

Ia turut membabitkan campur tangan dalam kes penukaran agama tiga anak guru tadika, M. Indira Gandhi oleh suaminya yang memeluk Islam, yang diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Makaysia di sini pada 16 Ogos 2018.

Sangeet turut memohon perisytiharan bahawa, beliau selaku individu yang mempunyai hak dan kepentingan yang terjejas, berhak kepada satu Badan Kehakiman yang bebas dan tidak memihak serta bebas daripada campur tangan dari mana-mana pihak.

Jika terdapat tuduhan campur tangan itu, Sangeet menyatakan bahawa semua orang terbabit termasuk dirinya berhak mendapat maklumat mengenai siasatan dalaman yang dijalankan dalam Badan Kehakiman serta penemuan dan dapatan daripada siasatan berkenaan. - UTUSAN ONLINE

Loading...
Share This