Kes tetak: PATI kena 13 tahun penjara
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) dihukum penjara 13 tahun di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini atas tuduhan menetak lelaki Aust...

http://www.buletinsabah.com/2019/03/kes-tetak-pati-kena-13-tahun-penjara.html
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) dihukum penjara 13 tahun di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini atas tuduhan menetak lelaki Australia hingga parah, 24 Januari lalu.
Hukuman diputuskan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim selepas tertuduh, Roy Samad Totong, 37, mengaku salah terhadap pertuduhan.
Mahkamah mengarahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menetak mangsa, Broadhurst Daniel Barry, 46, di kepala dan tangan menggunakan parang hingga parah berhampiran Kampung Kiwoi Tamparuli, Kota Kinabalu, 24 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana mempunyai anak masih kecil selain perlu menjaga ibunya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ali Imran memohon hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan serius dan mengancam nyawa.
Mengikut fakta kes, dalam insiden Januari lalu, berlaku salah faham antara tertuduh dengan mangsa menyebabkan tertuduh mengejar mangsa dengan parang.
Mangsa dikatakan cuba melarikan diri untuk minta pertolongan namun, kawasan itu hutan sunyi dan dia diserang tertuduh.