Isnin, 18 Mac 2019

Kementerian sedia kerjasama dengan SPRM - Mohamaddin


PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan tuntutan palsu berkaitan pembekalan dan perkhidmatan bernilai RM1.2 juta untuk kementerian itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kerjasama itu, sekiranya diperlukan, menjurus kepada membantu siasatan berhubung penahanan empat individu termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah sebuah jabatan kerajaan semalam.

“Berdasarkan maklumat yang disalurkan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kedah, pada 1 November tahun lalu, pegawai di pejabat kementerian di Kedah dihubungi oleh jabatan berkaitan untuk mendapat kepastian mengenai satu pembayaran yang dituntut.

“Selepas penelitian dokumen dibuat, kementerian mendapati tandatangan dua pegawai kementerian dipalsukan suspek. Tuntutan palsu itu didakwa dilakukan pada 2014 hingga 2016.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada 4 November tahun lalu dan dua pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terbabit sudah dipanggil SPRM pada 8 Januari dan 17 Mac lalu

untuk memberi keterangan serta membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SPRM Kedah semalam menahan empat individu termasuk seorang ketua penolong pengarah sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki terbabit dalam tuntutan palsu berhubung pembekalan dan perkhidmatan untuk kementerian itu antara 2014 hingga 2016, berjumlah RM1.2 juta.

Keempat-empat individu terbabit termasuk ketua penolong pengarah berkenaan yang juga seorang wanita, ditahan antara jam 5 hingga 5.30 petang semalam di rumah masing-masing di sekitar Alor Setar.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Loading...
Share This