Jumaat, 15 Mac 2019

Kami akan tepati janji, Jabatan Air Negeri Sabah beritahu bekas pekerja

Pengarah  Jabatan Air Negeri Sabah, Amarjit Singh
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah menafikan ia gagal mengotakan janji untuk menyerap 1,335 pekerja konsesi air yang ditamatkan kontrak oleh kerajaan negeri sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Amarjit Singh berkata, jabatan itu akan mengotakan janjinya, tetapi mereka memerlukan masa untuk berbuat demikian.

“Mereka semua perlu diproses, yang akan mengambil masa. Kami perlu semak kewangan dalaman dan kemudian ke perbendaharaan,” katanya kepada FMT sambil menambah banyak permohonan tidak lengkap diserahkan bekas pekerja terbabit.

Semua 1,335 pekerja itu berkhidmat di 6 syarikat konsesi yang diberikan kontrak untuk mengendalikan 58 loji rawatan air di Sabah.

Walaupun syarikat konsesi itu masih mempunyai kontrak selama 13 tahun 5 bulan, tetapi kerajaan negeri menamatkan khidmat mereka pada 15 Januari lalu untuk mengurangkan kos dan Jabatan Air Negeri Sabah mengambil alih operasi di loji rawatan air terbabit.

Ada di kalangan pekerja itu yang mendakwa mereka tidak dibayar gaji sejak Januari lalu menerusi media sosial.

Mereka turut mendakwa tidak diserap ke dalam perkhidmatan awam negeri seperti dijanjikan kerajaan Sabah, sebaliknya hanya diambil bekerja separuh masa dengan bayaran secara harian.

Bagaimanapun, sumber dari perbendaharaan negeri memberitahu FMT, ia bukan perkara baru untuk penjawat awam baru menerima gaji lambat.

“Mereka akan terima gaji mereka bersama tunggakan, paling tidak 3 bulan selepas bekerja,” kata sumber itu.

Loading...
Share This