Jumaat, 15 Mac 2019

Jurugambar sambilan mengaku hina agama Hindu


JURUGAMBAR sambilan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dua kesalahan memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu di Facebook miliknya.

Zamri Abdul Razak, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Zamri Bakar.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan Isnin ini untuk hukuman terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik menggunakan profil Zamri Bin Abd Razak di pautan https://www.facebook.com/zamri.xzone dengan niat mahu menyakitkan hati orang lain.

Ia dibaca oleh individu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, dekat Kuala Lumpur pada 12.45 tengah hari, 10 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana menghina agama orang lain.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah atas alasan dia tidak bekerja dan perlu menjaga ayahnya yang sudah uzur dan mempunyai masalah jantung.

Zamri berkata dia mempunyai tiga anak dan sudah bercerai dengan isterinya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Loading...
Share This