Selasa, 12 Mac 2019

Hajiji ketuai Bersatu di Sabah khabar angin: Lajim


Kota Kinabalu: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) menyifatkan desas-desus bahawa bekas Pengerusi Umno Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor bakal mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah sebagai khabar angin.

Beliau berkata, segala keputusan mengenai siapa yang akan memimpin parti itu di negeri ini masih belum diputuskan malahan keputusan rasmi juga belum diumumkan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu.

“Siapa pun boleh mengadakan pertemuan dengan pimpinan Bersatu khususnya Tun Mahathir dan kita sendiri pun sudah beberapa kali bertemu beliau namun belum ada keputusan rasmi siapa bakal ketuai Bersatu di Sabah.

“Bagi saya, ia cuma khabar angin... itu belum sah kecuali ada pengumuman rasmi dibuat pucuk pimpinan Bersatu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Sayap Harapan di Ibu Pejabat Harapan, di sini, Sabtu lepas. 

Terdahulu, tular di laman media sosial melalui ‘Hajiji Likers’ yang mendedahkan Hajiji sudah mengadakan pertemuan dengan Presien Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara dan mendakwa Bersatu bakal dilancarkan pada 6 April hadapan.

Hantaran berkenaan turut menjelaskan pelancaran Bersatu di Sabah akan diadakan di Padang Bandaran, Kota Kinabalu dan dirasmikan sendiri oleh Tun Dr Mahathir serta Muhyiddin.

Sebelum ini, Tun Mahathir menetapkan syarat kemasukan pemimpin Umno ke Bersatu hanya sebagai ahli biasa dan tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan tertinggi dalam parti untuk tempoh tertentu. 

Lajim ketika ditanya sekiranya Tun Mahathir mengubah pendirian berhubung ketetapan berkenaan iaitu memilih bekas pemimpin Umno mengetuai Bersatu di Sabah, beliau menjelaskan pihaknya akur sekiranya perkara itu berlaku.

“Pada saya itu keputusan yang dibuat pimpinan Bersatu dan jika itu keputusannya, kita mesti akur kerana kita (Harapan) menyertai Bersatu bukan untuk mengejar jawatan, sebaliknya mahu bersama dalam kerajaan.

“Ia termasuk membantu pihak kerajaan dalam dasar-dasar yang baik untuk rakyat Sabah dan terpenting sekali pada hari ini di mana kita telah dapat bayangan dan pengumuman di mana Sabah dan Sarawak dianggap sebagai ‘equal partner’,” katanya.

Loading...
Share This