Khamis, 14 Mac 2019

Boikot Sabah dan Labuan !


KOTA KINABALU: Pertikaian terhadap dakwaan kesilapan rampasan muatan beras bernilai RM10 juta yang kini dibawa ke mahkamah di Sabah menyaksikan perkembangan baharu, pada Rabu, dengan pembeli Filipina mengisytiharkan bahawa mereka telah mengambil keputusan untuk mengetepikan Sabah dan Labuan dalam perdagangan mereka yang akan datang.

Sekumpulan 10 penerima konsain (pembeli) beras terbabit dalam rampasan 351 kontena muatan beras oleh Kastam Malaysia, mengambil alternatif untuk mengalihkan semua perniagaan ke Tarakan, Indonesia. 

Seorang jurucakap bagi 10 penerima konsain dari Filipina itu, Haji Rafael Al Habibi dari Zamboanga memberitahu Harian Ekspres: 

“Kami tidak lagi memerlukan Sabah atau Labuan dalam perdagangan itu kerana Presiden Filipina telah pun meluluskan permintaan mereka untuk mengimport beras secara langsung dari negara-negara pengeluar seperti Vietnam, Thailand atau Pakistan.

“Kami memberi deposit RM7 juta kepada pembeli kami di Sabah dan Labuan tetapi malangnya beras itu tidak tiba di Labuan mengikut jadual. 

“Ini adalah beras kami! Kesemua 351,000 karung beras itu ditandakan ‘UNTUK PINDAH KAPAL KE FILIPINA SAHAJA”, malah dalam Bil Muatan juga jelas dinyatakan ‘UNTUK PINDAH KAPAL KE FILIPINA SAHAJA’. Tetapi kenapa kerajaan Malaysia (melalui Kastam) sengaja menahan kargo kami dan mendakwa kami sebagai penyeludup?

“Ini adalah kerugian besar kepada pembeli di Filipina. Setakat ini, kerugian kami mencecah hampir RM11 juta kerana 30 kapal kami menunggu di pelabuhan Labuan selama dua bulan dan terpaksa belayar balik ke pelabuhan asal kami dengan kosong tanpa sebarang kargo.

“Tambahan lagi, kami perlu membeli diesel pergi dan balik, gaji anak kapal, makanan dan fi ejen-ejen perkapalan tapi kami pulang kosong,” katanya pada Rabu.

Rafael, mewakili 10 penerima konsain, mengulas mengenai rampasan 351 kontena muatan beras dari Vietnam oleh Kastam Malaysia di Pelabuhan Sepanggar sejak Oktober, tahun lepas yang sepatutnya untuk pembeli-pembeli di selatan Filipina. Ahad lepas, akhbar ini melaporkan bahawa Sabah boleh disenarai hitam daripada urusan pengimport beras Vietnam pada masa hadapan susulan dakwaan kesilapan rampasan beras itu oleh Kastam Malaysia yang dikatakan telah menyebabkan kerugian lebih RM10 juta.

Menurut Peter Doan, jurucakap bagi tujuh syarikat Vietnam yang terbabit dalam membekalkan beras itu, 351 kontena itu bersamaan 9,000 tan metrik beras bernilai USD3 juta dirampas oleh Kastam Malaysia di pelabuhan Kota Kinabalu Oktober lalu, sekalipun ia adalah untuk selatan Filipina dan tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia.

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa rampasan tidak dijangka itu merupakan yang pertama sejak 20 tahun mereka menjalankan perniagaan itu.

Pengerusi Persatuan Perdagangan Rentas Sempadan Sabah, Nordin Ening, dilaporkan sebagai berkata oleh akhbar ini pada Rabu bahawa persatuan itu merayu kepada Perdana Menteri dan Peguam Negara supaya menimbang untuk tidak mendakwa dua peniaga beras yang dituduh menyeludup 351 kontena beras Vietnam oleh Kastam Malaysia. 

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa akibatnya adalah Sabah mungkin akan kehilangan semua perniagaan rentas sempadan pada masa depan, bukan sahaja dengan Vietnam tetapi juga rantau BIMP-EAGA membabitkan kira-kira RM2 bilion setahun serta menjejaskan perdagangan Sabah dengan Thailand, Kemboja dan Pakistan. Pada Rabu, akhbar melaporkan bahawa sebuah syarikat perdagangan beras didakwa di Mahkamah Majistret, Selasa, atas tuduhan menyeludup 16,000 karung Beras Putih Vietnam bernilai RM862,752, pada tahun lalu.

B.G.C. Trading (L) Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya mengaku tidak bersalah kepada dakwaan itu di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

Pegawai pendakwaan Jabatan Kastam Zuraynee Ahmad Zaini memberitahu mahkamah bahawa lima lagi kes serupa akan dibawa ke mahkamah.

Rafael berkata 10 penerima konsain akan menuntut kerugian tersebut daripada pembekal Malaysia memandangkan mereka mempunyai perjanjian yang sewajarnya dalam transaksi konsainan beras terbabit yang dirampas Kastam Malaysia.

“Kami telah memberitahu pembekal kami di Labuan dan Sabah bahawa kami menolak 351 kontena itu kerana kargo sudah rosak dan tidak boleh dimakan.

“Sebenarnya, kami lebih suka membeli dari Sabah atau Labuan kerana semua produk adalah halal dan mematuhi syariah.

“Tetapi selepas apa yang berlaku (kepada 351 kontena itu), kami ada alternatif sekarang untuk mengalihkan semua perniagaan ke Tarakan, Indonesia dan Kerajaan Indonesia memudahkan serta menawarkan persekitaran perniagaan yang kondusif di Pelabuhan Nunukan dan Tarakan mereka,” katanya. 

Kerajaan Sabah sebelum ini menghentikan semua perdagangan rentas sempadan sejak 2016 susulan kejadian penculikan rentas sempadan tetapi difahamkan bahawa perkara itu disemak semula oleh kerajaan pimpinan Warisan yang memegang kuasa selepas PRU14, membenarkan pindah kapal dahulu sebelum diikuti kemudian oleh perdagangan tukar barang.

Loading...
Share This