Jumaat, 22 Mac 2019

Bergaduh sebab politik rupanya...


“KAMI begitu kesal dengan kejadian itu dan ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Pengerusi Masjid Kariah Sendayan di Kampung Sendayan, di Seremban, Abdul Rahman Mohd Amin.

Beliau menyatakan kekesalan berhubung pergaduhan di masjid itu 1.45 tengahari, kelmarin membabitkan dua jemaah hingga menyebabkan seorang tercedera.

Abdul Rahman menegaskan, mangsa berusia 61 tahun bukanlah ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan masjid sebaliknya bekas AJK pada 2017.

“Pergaduhan ini tidak berlaku dalam ruang ibadat tetapi di belakang masjid, ketika jemaah lain menunaikan solat sunat,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, mangsa dan suspek berusia 47 tahun masing-masing pemimpin setempat dalam parti politik yang sama tapi berbeza pendirian.

“Punca kejadian disebabkan mangsa sebagai ‘admin’ mengeluarkan dua rakan lelaki itu daripada kumpulan WhatsApp masjid. Saya juga sebagai ‘admin’ namun ketika kejadian, tiada di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu ditubuhkan 2015 untuk berkongsi hal agama, aktiviti kariah dan informasi berfaedah. Namun pihaknya tidak menghalang pandangan serta sokongan politik tetapi biarlah matang.

“Menyokong mana-mana perjuangan politik hak masing-masing tetapi perlu waras dan jaga tingkah-laku. Pada awal penubuhan kumpulan, kami menegur semua ahli supaya berhemah dalam memberi pandangan politik dan jangan sesekali mencetuskan kontroversi,” katanya.

Jelasnya, lebih utama elak pergaduhan dan pamerkan amalan sihat dalam demokrasi.

“Saya difahamkan mangsa mengeluarkan dua rakan lelaki itu atas sebab-sebab tertentu menyebabkannya tidak berpuas hati. Kejadian ini tidak sepatutnya berakhir dengan sepak terajang dan tumbuk menumbuk,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang jemaah masjid di Sendayan cedera di muka dan perut akibat diterajang seorang lelaki hanya kerana dua rakannya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp.

Dalam kejadian itu, beberapa jemaah lain bertindak meleraikan pergaduhan sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Mambau, di sini.

Loading...
Share This