Selasa, 19 Mac 2019

Bekas pemandu jana RM7,500 sebulan jual ketam lembut


SANDAKAN: Hanya bermodalkan RM700 dari wang saku sendiri untuk mengusahakan penternakan ketam lembut pada November 2013, seorang bekas pemandu kini berjaya meraih pendapatan sehingga RM7,500 sebulan.

Suhaili Abdurahman, 39, dari Kampung Bambangan dekat sini yakin dengan potensi usahanya itu dan semangat gigih untuk meneruskan perniagaannya sehingga berjaya, walaupun dengan enam sangkar kecil pada permulaannya.

“Selepas tamat persekolahan sehingga selesai peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, saya ada cuba untuk memohon pekerjaan di jabatan kerajaan, tetapi nasib tidak menyebelahi saya.

“Jadi, saya memohon di syarikat swasta dan menjadi seorang pemandu. Namun, kerinduan saya pada laut mendorong saya untuk mencari pekerjaan lain yang mendekatkan saya kepada laut,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub ke pelantar penternakan ketam lembut Suhaili di perairan kampungnya itu pada Ahad.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau mendapat inspirasi untuk mengusahakan penternakan ketam lembut selepas melihat seorang rakannya menjalankan usaha sama dan melalui pengetahuan yang ditimba menerusi carian di internet.

Kemudian, beliau bertekad untuk memulakan usaha itu, walaupun masih bekerja sebagai seorang pemandu lori.

“Selepas tujuh bulan menjalankan penternakan ketam lembut, saya melihat ada kemajuan dalam perniagaan ini dan saya menyuntik RM3,500 lagi daripada duit saya sendiri untuk mengembangkan perniagaan saya kepada 25 petak (sangkar). 

“Pada 2015, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja (sebagai pemandu) bagi memberi fokus kepada perniagaan saya,” katanya.

Pada 2017, Suhaili berkata beliau mendapat tajaan daripada Jabatan Perikanan menerusi program Penternak Ladang Akuakultur Contoh (PLAC) yang memberikan bantuan seperti bot, enjin sangkut, peralatan kayu, sangkar dan pondok terapung serta kursus.

Kini, beliau mengusahakan 38 sangkar ketam lembut dan makanan laut seperti kupang, ikan merah, ikan putih dan kerapu.

Menurutnya, beliau menjual antara 200-500 kg ketam lembut sebulan kepada pemborong dan restoran makanan laut di sekitar Sandakan. – Bernama

Loading...
Share This