Jumaat, 15 Mac 2019

8 bekas pemimpin Umno jadi kumpulan pertama ahli PPBM Sabah


PUTRAJAYA: Enam wakil rakyat dan 2 senator yang meninggalkan Umno Disember lalu diterima sebagai kumpulan pertama ahli PPBM Sabah, hari ini.

Mereka terdiri daripada 4 ahli Parlimen, iaitu Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Ronald Kiandee (Beluran).

Baki 4 lagi pemimpin ialah 2 adun, iaitu Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan) serta Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas ketua Umno Bahagian Pensiangan) dan John Ambrose (bekas ketua Umno Bahagian Penampang).

Lapan bekas pemimpin Umno itu antara 6 ahli Parlimen, 9 Adun, 2 senator dan 21 ketua Umno bahagian Sabah yang meninggalkan parti itu pada 13 Disember lalu sehingga menyebabkan parti itu hampir lumpuh di negeri berkenaan.

Hari ini, Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu akan mempertimbangkan status kemasukan Yamani Hafez Musa yang merupakan ahli Parlimen Sipitang dan anak bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

“Belum lagi, kita akan membuat pertimbangan,” katanya selepas menyerahkan kad keahlian PPBM kepada 8 bekas pemimpin Umno itu di Yayasan Kepimpinan Perdana.

“Kita akan pergi ke Sabah pada 6 April ini. Sebelum kita pergi ke Sabah, sudah ada permohonan menyertai PPBM.”

Dengan perkembangan terbaru ini, PPBM kini memiliki 26 ahli Parlimen dan Pakatan Harapan menguasai 129 kerusi di Dewan Rakyat.

Pada 12 Februari lalu, PPBM menerima 6 bekas ahli Parlimen Umno, iaitu Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen Umno turut diterima menyertai PPBM, iaitu Mustapa Mohamed (Jeli), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Mahathir mengulangi jaminan Pakatan Harapan tiada niat menggantikan kerajaan Sabah pimpinan Warisan.

“Kita memberi tempat kepada Warisan, walaupun Warisan bukan ahli dalam Pakatan Harapan, kita beri tempat, kita terima anggota Warisan dalam kerajaan.

“Bersama-sama kita sokong kerajaan yang ditubuhkan Warisan di Sabah.

“Kita tidak ada niat menggantikan kerajaan Warisan di Sabah. Kita tidak ada niat nak ganti mana-mana pihak bila masuk Sabah nanti.”

Kedudukan Kiandee sebagai pengerusi PAC

Sementara itu, Mahathir berkata, Kiandee masih memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

“Dia masih lagi pengerusi (PAC). Jawatan pengerusi PAC dipegang wakil pembangkang hanya polisi, bukan termaktub dalam Perlembagaan,” kata perdana menteri.

Pada 13 Disember lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, manifesto PH menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Tetapi, Kiandee kemudiannya dilaporkan berkata, walaupun sudah meninggalkan Umno, beliau tidak boleh melepaskan jawatan pengerusi PAC sehingga Parlimen membuat keputusan lanjut berhubung perkara itu.
158

Loading...
Share This